Skip to main content

Dunia

Kapal layar mewah, Equanimity disimpan di Langkawi buat sementara

Equanimity, kapal layar mewah yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tiba di sini hari ini (14 Nov) untuk tujuan simpanan sementara selepas belayar dari Pelabunan Klang, semalam (13 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Kapal layar mewah, Equanimity disimpan di Langkawi buat sementara

Kapal Equanimity. (Gambar: Lai Seng Sin/ Reuters)

Diterbitkan : 14 Nov 2018 10:02PM Dikemas Kini : 14 Nov 2018 10:04PM

LANGKAWI: Equanimity, kapal layar mewah yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tiba di sini hari ini (14 Nov) untuk tujuan simpanan sementara selepas belayar dari Pelabunan Klang, semalam (13 Nov).

Kapal sepanjang 92 meter itu kini berlabuh di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut, kata Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim.

“Dua buah bot peronda polis iaitu PA45 dan PSC18 bersama sebuah kapal perang TLDM, KD Teguh mengiringi kapal layar itu sepanjang perjalanan sebelum tiba di sini jam 10.35 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini (14 Nov).

Beliau, bagaimanapun, tidak menyebut tempoh masa kapal mewah itu akan berada di Langkawi dan hanya menyatakan ia akan dikawal oleh TLDM di pangkalan mereka sepanjang berada di situ.

Ketibaan bot di situ turut menarik minat ramai netizen selepas gambar ia berlabuh di jeti pangkalan TLDM tular di media sosial.

Pada 26 Okt lepas, Mahkamah Admiralti sudah meluluskan terma dan syarat bagi proses bidaan bagi kapal berkenaan yang bermula 29 Okt lepas dan akan berakhir pada 28 Nov ini.

Peguam Ong Chee Kwan, yang mewakili 1MDB, sudah menyatakan mereka yang berminat untuk membida kapal itu perlu membayar deposit sebanyak AS$1 juta (S$1.4 juta).

Pada 19 Okt lepas, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kapal mewah Equanimity sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1MDB selepas pemilik berdaftar gagal hadir menuntut kapal itu dan kerajaan kini boleh menjual kapal itu.

Kapal mewah yang dinilai berharga AS$250 juta (S$345 juta) itu dikatakan dibeli oleh seorang ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low, dengan menggunakan dana dari 1MDB.

Ia telah disita di Bali, Indonesia pada Februari lepas sebelum kerajaan negara itu menyerahkannya kepada kerajaan Malaysia, Ogos lepas. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita