Skip to main content

Dunia

Kapal kargo terbakar lepaskan gas toksik dekat pantai Pasifik Kanada

Pengawal pantai Kanada memindahkan 16 orang daripada kapal kontena yang terbakar yang mengeluarkan gas beracun dekat pantai Pasifik Kanada, menurut pihak berkuasa pada Ahad (24 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Kapal kargo terbakar lepaskan gas toksik dekat pantai Pasifik Kanada

Gambar dipetik oleh Gerald Graham dan dihantar ke AFP pada 24 Okt menunjukkan kepulan asap dari kapal Zim Kingston yang terbakar (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 25 Oct 2021 10:58AM Dikemas Kini : 25 Oct 2021 11:04AM

MONTREAL: Pengawal pantai Kanada memindahkan 16 orang daripada kapal kontena yang terbakar yang mengeluarkan gas beracun dekat pantai Pasifik Kanada, menurut pihak berkuasa pada Ahad (24 Okt).

Bagaimanapun, "tiada risiko keselamatan" bagi mereka yang berada di pantai, menurut pihaknya lagi.

Kapal Zim Kingston itu berlabuh di dekat bandar Victoria di British Columbia, di Selat Juan de Fuca yang merupakan sempadan maritim antara Kanada dengan Amerika Syarikat, menurut laman pengesan marin MarineTraffic.

Ia sedang menuju ke Vancouver apabila kebakaran tercetus dan dilaporkan kepada pengawal pantai sekitar pukul 11.00 malam waktu tempatan pada Sabtu (23 , lapor CBC News.

"Kapal itu terbakar dan mengeluarkan gas toksik," menurut pengawal pantai Kanada dalam amaran pelayaran di laman webnya.

Satu kenyataan susulan di akaun Twitter pengawal pantai menyatakan 16 orang sudah dipindahkan daripada Zim Kingston "selepas kebakaran berlaku dalam sepuluh kontena".

"Buat masa ini tiada risiko keselamatan kepada orang ramai di pantai, namun keadaan akan terus dipantau," tambah ciapan itu.

Pada Ahad, Pengawal Pantai menyatakan zon kecemasan di sekitar kapal diperluas menjadi dua batu nautika, ditambah daripada satu batu sehari sebelumnya.

"Disebabkan oleh sifat bahan kimia di atas kapal kontena, langkah menyembur air langsung pada api bukan satu pilihan," menurutnya, sambil menambah bahawa sebuah bot tunda sebaliknya sedang menyembur air sejuk pada badan kapal.

Namun kemudian, pengurus kapal Danaos Shipping berkata dalam satu kenyataan bahawa kejadian itu disebabkan oleh "kedudukan condong berlebihan (kapal) akibat cuaca melampau," sambil menambah kebakaran itu dapat dikawal.

"Tiada kecederaan dilaporkan. Kebakaran nampaknya dapat dikawal dan DANAOS sudah menugaskan Agensi Penyelamat & Pemadam Kebakaran untuk menaiki kapal bagi memastikan keadaan sesuai untuk anak-anak kapal itu kembali," tambah syarikat itu.

Pengawal pantai menyatakan kapal itu membawa lebih 52,000 kilogram bahan kimia yang berada dalam dua kontena yang terbakar, menurut CBC News.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita