Kapal kargo M'sia hilang: Pemilik, ahli keluarga anak kapal akan dipanggil bantu siasatan
Pemilik kapal serta ahli keluarga anak kapal kargo MV Dai Cat, 06 yang dilaporkan hilang sejak 9 Januari lalu, akan dipanggil bagi membantu siasatan, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Mohd Zubil Mat Som.
Kapal kargo M'sia MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang pada 1 Jan 2023, terakhir dikesan di perairan Indonesia. (Gambar: Facebook/Malaysia Coast Guard)
KUALA LUMPUR: Pemilik kapal serta ahli keluarga anak kapal kargo MV Dai Cat, 06 yang dilaporkan hilang sejak 9 Januari lalu, akan dipanggil bagi membantu siasatan, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Mohd Zubil Mat Som.
"APMM akan membuka kertas siasatan dan memanggil pemilik kapal, keluarga anak kapal termasuk ejen kapal berkenaan bagi menjawab beberapa soalan mengenai kehilangan kapal itu.
“Antara yang akan ditanya ialah mengenai keadaan keselamatan kapal itu sebelum belayar dan kebajikan anak kapal termasuk sebab laporan mengenai kehilangan kapal berkenaan hanya dilaporkan pada 9 Januari sedangkan ia sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak, pada 31 Disember lalu,” katanya kepada Bernama hari ini (18 Jan).
Pada 9 Januari, kapal kargo didaftarkan di Malaysia itu dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian tersebut dibuat ejen kapal berkenaan pada hari yang sama.
Kapal kargo tersebut yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 (S$221,070) berserta lima anak kapal.
Malah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal kargo itu selama tujuh hari ditamatkan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia pada 14 Januari selepas semua usaha yang dilaksanakan tidak menemui sebarang petunjuk.
Encik Mohd Zubil juga berkata siasatan awal pihaknya mendapati kapal terbabit ialah kapal pasir, namun membawa muatan batang paip pada hari berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.