Skip to main content

Dunia

Kapal dijangkiti hantavirus dijangka tiba di Kepulauan Canary pada Ahad

Anggaran Waktu Membaca:
Kapal dijangkiti hantavirus dijangka tiba di Kepulauan Canary pada Ahad

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 10 May 2026 12:05AM Dikemas Kini : 10 May 2026 12:06AM

MADRID: Menteri Kesihatan Sepanyol Monica Garcia pada Sabtu (9 Mei) berkata kapal persiaran MV Hondius dijangka tiba di Pelabuhan Granadilla di pulau Tenerife, Sepanyol antara 4 pagi hingga 6 pagi waktu tempatan (0300-0500 GMT) Ahad, ketika pihak berkuasa terus memantau penularan hantavirus yang dikaitkan dengan kapal itu.

Bercakap kepada media, Cik Garcia berkata langkah pertama sebaik sahaja kapal itu tiba adalah memeriksa sama ada terdapat penumpang yang menunjukkan simptom virus berkenaan. Penumpang juga akan turun dari kapal dengan memakai pelitup muka, lapor Xinhua.

Cik Garcia menegaskan bahawa setakat ini tiada kontak baharu di Sepanyol yang dikaitkan dengan kes hantavirus yang disahkan dan mengulangi bahawa “risiko kepada penduduk kekal rendah”.

Menteri itu dijadual berlepas ke Tenerife lewat Sabtu bersama Menteri Dalam Negeri Fernando Grande-Marlaska dan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Sementara itu, seorang individu yang dikenal pasti di Catalonia sebagai mempunyai kontak dengan wanita Belanda yang meninggal dunia akibat hantavirus selepas menaiki MV Hondius, menjalani kuarantin di Hospital Clinic Barcelona pada Sabtu.

Menurut Pengarah Perubatan hospital itu, Toni Castells, virus berkenaan mempunyai tempoh inkubasi antara tiga hingga enam minggu, bermakna kuarantin itu boleh berlangsung sehingga enam minggu.

Castells berkata individu itu tidak dianggap sebagai pesakit, sebaliknya kontak tanpa gejala. Oleh itu, pengesanan kontak hanya akan diaktifkan jika individu berkenaan disahkan positif hantavirus.

Pihak berkuasa Sepanyol turut mengenal pasti dua lagi kontak yang menaiki penerbangan sama dengan penumpang Belanda yang meninggal dunia itu.

Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita