Kapal berdaftar SG rempuh benteng sungai dekat Kolkata
Sebuah video kejadian yang dimuat naik ke media sosial pada 12 Ogos 2026 menunjukkan kapal kontena berdaftar Singapura, Nawata Bhum, bergerak ke arah tebing Sungai Hooghly sebelum merempuh benteng di Bengal Barat, India. (Gambar: Petikan skrin Instagram/mr.suvendudas)
- Sebuah kapal kontena Singapura, Nawata Bhum, hilang kawalan dan melanggar benteng di Sungai Hooghly, Benggala Barat, India pada 12 Ogos.
- Kapal itu dalam perjalanan ke Pelabuhan Syama Prasad Mookerjee di Kolkata selepas berlepas dari Pelabuhan Klang.
- Perlanggaran menyebabkan keretakan pada tebing sungai, namun tiada bot feri di terminal ketika kejadian, mengelakkan bencana besar.
- Kejadian ini dirakam dan dikongsi di media sosial, menunjukkan kapal sarat kontena sebelum merempuh benteng.
Kapal Nawata Bhum sepanjang 148 meter itu dalam perjalanan ke Pelabuhan Syama Prasad Mookerjee di Kolkata selepas berlepas dari Pelabuhan Klang pada 3 Ogos, menurut laman pengesanan kapal VesselFinder.
Kapal itu merempuh benteng di Noorpur di Pelabuhan Diamond, daerah South 24 Parganas di Benggala Barat, kira-kira 50 kilometer dari Kolkata, pada Rabu (12 Ogos), menurut laporan Indian Express pada Khamis (13 Ogos).
"Bagaimanapun, memandangkan tiada bot ditempatkan di terminal feri ketika nahas, bencana besar dapat dielakkan," menurut laporan itu.
Perlanggaran tersebut menyebabkan keretakan pada tebing sungai.
Video kejadian yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan kapal yang sarat dengan kontena itu kelihatan hilang kawalan sebelum merempuh benteng tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.