Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kapal bawa 14,600 kambing karam di Laut Hitam, Romania

Para penyelamat bertungkus lumus berusaha untuk menyelamatkan 14,600 ekor kambing yang berada di dalam sebuah kapal kargo yang karam di Laut Hitam di perairan Romania.

Anggaran Waktu Membaca:
Kapal bawa 14,600 kambing karam di Laut Hitam, Romania

Kapal yang menyelamatkan kambing-kambing dalam kapal Queen Hind. (Gambar: IGSU Romania / AFP)

Diterbitkan : 25 Nov 2019 12:54PM Dikemas Kini : 25 Nov 2019 12:57PM

BUCHAREST: Para penyelamat bertungkus lumus berusaha untuk menyelamatkan 14,600 ekor kambing yang berada di dalam sebuah kapal kargo yang karam di Laut Hitam di perairan Romania.

Kapal Queen Hind yang dalam perjalanan ke Arab Saudi itu terbalik tanpa diketahui puncanya, sejurus meninggalkan pelabuhan Midia di Romania.

Anak kapal terdiri daripada 20 warga Syria dan seorang rakyat Lubnan diselamatkan, bersama 32 kambing, dua daripadanya ditarik keluar dari laut, menurut seorang jurucakap pasukan penyelamat, Ana-Maria Stoica.

"Operasi menyelamat masih dijalankan. Kami berharap kambing-kambing dalam ruang kargo kapal masih hidup," beliau memberitahu AFP.

Para penyelamat disokong tentera, polis dan anggota penyelam berusaha untuk membetulkan kedudukan kapal yang mengibarkan bendera Palau dan menariknya ke pelabuhan, kata Cik Ana-Maria.

Persatuan penternak dan pengeksport ternakan hidup Romania, Acebop, menggesa siasatan segera dijalankan.

"Persatuan kami terkejut dengan bencana ini," menurut Presiden Acebop, Mary Pana dalam satu kenyataan. "Jika kita tidak boleh melindungi haiwan ternakan ketika perjalanan jauh, kita perlu terus melarangnya."

Wakil pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Animal International, Encik Gabriel Paun mendakwa kapal itu terlebih muatan.

Beliau menambah kapal Queen Hind juga sudah mengalami masalah enjin pada Disember lalu.

"Satu siasatan perlu dijalankan tanpa berlengah lagi," katanya kepada AFP.

Romania, yang menyertai Kesatuan Eropan pada 2007, adalah antara negara anggota paling miskin.

Ia merupakan negara penternak kambing ketiga paling besar selepas Britain dan Sepanyol dan juga pengeksport utama bagi pasaran Timur Tengah.

Para aktivis melabel kapal pengangkutan ternakan itu, yang sekitar 100 berlepas dari pelabuhan Midia setiap tahun, sebagai "kapal maut", sambil menambah kambing-kambing itu berisiko dimasak hidup-hidup semasa berada di dalam kapal sewaktu musim panas.

Pada Julai lalu, Pesuruhjaya Eropah ketika itu Vytenis Andriukaitis, yang bertanggungjawab atas kesihatan dan keselamatan makanan, menuntut Bucharest berhenti mengangkut 70,000 kambing ke negara Teluk atas sebab kebajikan haiwan.

Beliau meminta Suruhanjaya Eropah menyiasat amalan Romania itu. 

Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan