Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kapal angkasa pertama AS dengan angkasawan dalam 10 tahun selamat mendarat di Florida

Kapal angkasa pertama Amerika Syarikat yang membawa para angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa dalam tempoh hampir sedekad pulang ke Bumi dengan selamat pada Ahad (2 Ogos), dengan kapal angkasa tersebut mendarat di perairan Teluk Mexico.

Anggaran Waktu Membaca:
Kapal angkasa pertama AS dengan angkasawan dalam 10 tahun selamat mendarat di Florida

Angkasawan Space X "Endeavour" lakukan persiapan sebelum mendarat ke Bumi pada 2 Ogos 2020 (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 03 Aug 2020 08:40AM Dikemas Kini : 03 Aug 2020 08:49AM

WASHINGTON: Kapal angkasa pertama Amerika Syarikat yang membawa para angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa dalam tempoh hampir sedekad pulang ke Bumi dengan selamat pada Ahad (2 Ogos), dengan kapal angkasa tersebut mendarat di perairan Teluk Mexico.

Misi yang berjaya itu adalah hasil kerjasama antara SpaceX dan NASA dan ia sekali lagi membuktikan keupayaan Amerika Syarikat untuk menghantar para angkasawannya ke angkasa dan membawa mereka pulang.

SpaceX Crew Dragon Endeavour mendarat di perairan dekat Pensacola, Florida pada 2.48 petang (waktu tempatan).

Pendaratan di laut itu adalah yang pertama bagi kapal angkasa Amerika Syarikat yang membawa angkasawan sejak misi Apollo-Soyuz pada 1975.

"Ia satu penghormatan dan keistimewaan buat kami," kata juruterbang Doug Hurley, yang diiringi oleh komander Bob Behnken dalam misi tersebut.

"Bagi pihak pasukan NASA dan SpaceX, selamat pulang ke Bumi dan terima kasih kerana menjalankan misi ini bersama SpaceX," jawab Mike Heiman dari bilik kawalan SpaceX.

"Kita sedang melangkah ke era baru penerbangan manusia ke angkasa lepas di mana NASA bukan lagi pembeli, pemilik dan pengendali semua perkakasan," kata pentadbir NASA Jim Bridenstine dalam perbualannya melalui telefon bersama para wartawan.

"Ini satu permulaan baru: kita sedang memulakan perjalanan membawa manusia berulang-alik ke orbit rendah Bumi, ke Bulan, dan akhirnya ke Marikh," tambah Gwynne Shotwell, presiden SpaceX.

MENGUASAI ANGKASA

Presiden Donald Trump - yang melakukan lawatan ke Florida untuk pelancaran kapsul itu dua bulan lalu - mengalu-alukan kepulangan para angkasawan.

"Terima kasih kepada semua!" tulis beliau di Twitter. "Bangga melihat para angkasawan NASA kembali ke Bumi dengan selamat setelah tamat misi selama dua bulan."

Amerika Syarikat bagaimanapun terpaksa bergantung kepada Rusia untuk perjalanan ke angkasa lepas sejak kapal angkasa terakhir melakukan penerbangan pada 2011.

Misi itu juga merupakan satu kemenangan besar bagi SpaceX milik Elon Musk, yang diasaskan pada tahun 2002 tetapi sudah berjaya memintas Boeing, pesaing utamanya dalam perlumbaan penerbangan angkasa komersil.

Amerika Syarikat membayar sekitar AS$7 bilion (S$9.63 bilion) kepada kedua-dua syarikat bagi kontrak "teksi angkasa", dengan usaha gergasi aeroangkasa Boeing gagal menepati sasaran yang ditetapkan.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan