Skip to main content

Dunia

Kapal angkasa penjelajah UAE, Hope hantar pulang gambar pertama Marikh

Kapal angkasa penjelajah Amiriah Arab Bersatu (UAE), Hope menghantar pulang gambar pertama planet Marikh yang diambilnya, kata agensi angkasa negara itu pada Ahad (14 Feb), beberapa hari selepas kapal angkasa itu berjaya memasuki orbit Planet Merah tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Kapal angkasa penjelajah UAE, Hope hantar pulang gambar pertama Marikh

Gambar Marikh dipetik oleh kapal angkasa penjelajah UAE, Hope, pada 10 Feb 2021 (Gambar: AP/Mohammed Bin Rashid Space Center, UAE Space Agency)

Diterbitkan : 14 Feb 2021 10:03PM Dikemas Kini : 14 Feb 2021 10:12PM

DUBAI: Kapal angkasa penjelajah Amiriah Arab Bersatu (UAE), Hope menghantar pulang gambar pertama planet Marikh yang diambilnya, kata agensi angkasa negara itu pada Ahad (14 Feb), beberapa hari selepas kapal angkasa itu berjaya memasuki orbit Planet Merah tersebut.

Gambar itu "merakam gunung berapi terbesar di sistem suria, Olympus Mons, muncul di bawah sinar matahari pagi".

Gambar itu diambil dari ketinggian 24,700 kilometer di atas permukaan Marikh pada Rabu, sehari selepas kapal angkasa itu memasuki orbit planet tersebut, kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Perdana menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum, berkongsi gambar berwarna itu di Twitter.

"Gambar pertama Marikh yang dipetik oleh kapal angkasa penjelajah Arab pertama dalam sejarah," tulisnya.

Misi tersebut dirancang untuk mendedahkan rahsia cuaca Marikh, tetapi UAE juga mahu ia berfungsi sebagai inspirasi bagi para belia di rantau itu.

Hope menjadi yang pertama daripada tiga kapal angkasa yang tiba di Planet Merah itu bulan ini selepas China dan Amerika Syarikat juga melancarkan misi pada Julai lalu, dengan memanfaatkan tempoh bila jarak antara Bumi dengan Marikh adalah paling dekat.

Penerokaan UAE itu juga bertepatan dengan ulang tahun ke-50 penyatuan tujuh negara amiriah.

Hope akan mengelilingi Planet Merah untuk sekurang-kurangnya satu tahun Marikh, atau 687 hari, menggunakan tiga instrumen saintifik untuk memantau atmosfera planet itu.

Ia dijangka akan mula mengirimkan lebih banyak maklumat ke Bumi pada September, dengan data yang tersedia untuk dikaji oleh para saintis di seluruh dunia.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita