Skip to main content

Dunia

Kapal angkasa India Chandrayaan-3 selamat mendarat di kutub selatan bulan

Anggaran Waktu Membaca:
MUMBAI: Kapal angkasa Chandrayaan-3 (CY3) selamat mendarat di permukaan kutub selatan Bulan kira-kira jam 8.34 malam pada Rabu (23 Ogos).

Kapal angkasa India itu membuat percubaan kedua mendarat di Bulan, sekali gus menyaksikan misi terpenting bagi negara itu berjaya beberapa hari selepas kapal angkasa Rusia yang serupa terhempas.
Pendaratan kapal angkasa tanpa pemandu itu menjadi peristiwa bersejarah bagi India selepas Amerika Syarikat (AS), Rusia dan China berjaya menyempurnakan misi mendarat di permukaan Bulan.

Perdana Menteri India, Narendra Modi yang kini berada di Afrika Selatan bagi menghadiri persidangan BRICS, turut menyaksikan pendaratan bersejarah itu dan menyampaikan ucapan menerusi penstriman video.

“Pada kesempatan yang menggembirakan ini, saya ingin menyampaikan ucapan kepada semua orang di dunia.

“Kejayaan ini adalah milik semua, dan ia akan membantu misi ke Bulan oleh negara lain pada masa hadapan,” katanya.

Difahamkan, semasa perjalanannya untuk mendarat di permukaan bulan, Chandrayaan-3 berjaya merakam visual yang menakjubkan.

Sementara itu, India bersaing dengan Rusia untuk mendaratkan kapal angkasa mereka di kutub selatan Bulan, wilayah yang disebut-sebut dipenuhi ais yang dikatakan boleh menjadi sebuah kawasan penempatan.

Pada 2019, percubaan pertama kapal angkasa India yang diberi nama Vikram terhempas di permukaan Bulan tetapi tidak berkecai.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita