Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kanak-kanak perempuan 15 bulan maut tersangkut di buaian

Anggaran Waktu Membaca:

SEREMBAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan meninggal dunia selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, Seremban, pada Selasa (22 Feb).

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata Nour Rania Asyifaa Yuseri disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan (KK) Sendayan oleh pegawai perubatan pada 4.30 petang selepas seorang wanita, yang juga pengasuhnya, membawanya ke klinik berkenaan untuk rawatan.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak itu diberikan susu dan dibawa ke dalam sebuah bilik di pusat jagaan berkenaan untuk ditidurkan dalam buaian bersama dua kanak-kanak lain pada 12.30 tengah hari sebelum pengasuhnya keluar dari bilik tersebut untuk melakukan tugasan lain pada 2.00 petang.

“Sejam kemudian, wanita itu (pengasuh) kembali semula ke bilik dan mendapati mangsa (Nour Rania Asyifaa) tidak sedarkan diri dengan bahagian leher dan kepala telah terkeluar serta tergantung pada kain buaian manakala badan masih berada di dalam buaian.

"Wanita itu terus mengambil mangsa dan menjalankan bantuan pernafasan (CPR) tetapi mangsa didapati gagal bernafas semula sebelum membawanya ke KK Sendayan," katanya dalam kenyataan pada Rabu (23 Feb). 

Beliau berkata hasil siasatan mendapati pusat jagaan di rumah teres satu tingkat itu beroperasi sejak 2019 dan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) selain turut dimiliki bersama seorang lagi pengasuh wanita.

Menurut beliau lagi, selain Nour Rania Asyifaa, terdapat 14 bayi serta kanak-kanak berusia dalam lingkungan enam bulan hingga tujuh tahun di pusat jagaan tersebut bersama kedua-dua pengasuh berusia 37 dan 29 tahun itu.

Nanda berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban untuk bedah siasat.

Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan