Skip to main content

Dunia

Kanak-kanak Perancis maut disengat ubur-ubur di Pulau Pangkor

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak Perancis maut disengat ubur-ubur di Pulau Pangkor

(Gambar hiasan: Pascal Pochard-Casabianca/AFP)

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki warga Perancis berusia lima tahun meninggal dunia akibat terkena sengatan ubur-ubur semasa mandi di pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor, pada Isnin (15 Ogos). 

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang, mangsa menjerit kesakitan semasa mandi bersama-sama keluarganya di pantai berkenaan.

"Orang awam yang berhampiran dengan mangsa telah datang dan membawa mangsa ke tepi pantai dan mendapati mangsa terkena sengatan ubur-ubur.

"Semasa mangsa dibawa naik ke darat, mangsa mula tidak sedarkan diri dan keluarganya telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Pangkor," katanya dalam kenyataan pada Rabu (17 Ogos). 

ACP Nor Omar berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada petugas klinik kesihatan tersebut pada pukul 7.30 malam memaklumkan mangsa telah disahkan meninggal dunia.

Katanya, pemeriksaan ke atas mangsa menemukan kesan lilitan dipercayai sengatan ubur-ubur pada bahagian perut, tangan kiri dan kaki kiri mangsa. 

Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Seri Manjung mendapati punca kematian adalah disebabkan pembisaan ubur-ubur dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita