Skip to main content

Dunia

Kanak-kanak pelarian Afghanistan maut akibat makan cendawan beracun di Poland

Seorang kanak-kanak lelaki Afghanistan berusia lima tahun yang dipindahkan dari Kabul selepas Taliban mengambil alih, meninggal dunia di Poland akibat makan cendawan beracun.

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak pelarian Afghanistan maut akibat makan cendawan beracun di Poland

Antara kanak-kanak pelarian Afghanistan di Warsaw. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 03 Sep 2021 07:31AM Dikemas Kini : 03 Sep 2021 07:35AM

WARSAW: Seorang kanak-kanak lelaki Afghanistan berusia lima tahun yang dipindahkan dari Kabul selepas Taliban mengambil alih, meninggal dunia di Poland akibat makan cendawan beracun.

Abangnya pula yang berusia enam tahun sedang nazak, kata doktor pada Khamis (2 Sep).

Kedua-dua adik beradik itu tiba di Poland bersama keluarga mereka pada 23 Ogos lalu, dan dikuarantin di kemudahan migran di bandar Podkowa Lesna dekat Warsaw.

Kanak-kanak itu makan cendawan beracun tersebut sehari selepas tiba ke negara berkenaan.

"Kematian otak disahkan hari ini… Kami mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia," kata doktor di Institut Kesihatan Children's Memorial di Warsaw, Dr Jaroslaw Kierkus.

Berhubung abangnya yang menerima pemindahan hati awal minggu ini, Dr Kierkus berkata, peluang untuk kanak-kanak itu selamat adalah tipis.

Pejabat Hal Ehwal Rakyat Asing yang mengendalikan pusat migran di Poland, sebelum itu berkata lima orang memerlukan bantuan perubatan kerana sakit perut. Namun pada awalnya mereka tidak memaklumkan telah memakan cendawan.

Dua kanak-kanak lelaki itu serta kakak mereka yang berusia 17 tahun, dibawa ke hospital pada 26 dan 27 Ogos.

Kakaknya kemudian dibenarkan keluar hospital.

Pihak pendakwa raya kini menjalankan siasatan terhadap insiden terbabit.

Jurucakap Pejabat Hal Ehwal Rakyat Asing, Jakub Dudziak, menafikan laporan media yang mendakwa kanak-kanak itu makan cendawan berkenaan kerana tidak diberi cukup makanan di pusat tersebut.

Menurutnya pendatang dari Afghanistan itu diberi makanan tiga kali sehari, merangkumi pelbagai bahan dengan nilai kalori yang sesuai, termasuk produk tenusu, daging, sayur-sayuran, buah-buahan dan minuman.

"Berhubung kejadian yang amat malang ini, kakitangan di pusat bagi warga asing akan memberi pendedahan kepada warga Afghan agar tidak makan produk yang tidak diketahui asal usulnya," kata Encik Dudziak.

Sumber : AFP/SU/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita