Kanak-kanak lelaki maut selepas lemas dalam kolam renang buatan sendiri
Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia pada awal pagi ini (7 Nov) selepas dipercayai lemas dalam sebuah kolam renang berhampiran rumahnya di Kampung Balun, Slim River di Tanjung Malim semalam (6 Nov).

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia pada awal pagi ini (7 Nov) selepas dipercayai lemas dalam sebuah kolam renang berhampiran rumahnya di Kampung Balun, Slim River di Tanjung Malim semalam (6 Nov).
Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata bapa mangsa menyedari anak lelakinya yang berumur setahun sembilan bulan tiada di dalam rumah dan menemukan anaknya lemas di dalam kolam buatan sendiri berhampiran rumahnya pada kira-kira pukul 9.00 pagi semalam.
"Bapanya telah membawa mangsa ke Hospital Slim River dan semasa itu mangsa didapati masih hidup dan diberi rawatan awal.
"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk rawatan lanjut kerana keadaannya yang tidak stabil. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor pada 2.30 pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Supt Sulizmie Affendy berkata proses bedah siasat mangsa akan dijalankan hari ini untuk mengetahui sebab sebenar kematian kanak-kanak tersebut.
Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.