Skip to main content

Dunia

Kanak-kanak Indonesia guna internet lebih 5 jam sehari

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak Indonesia guna internet lebih 5 jam sehari
Kanak-kanak di Indonesia pada 2 April 2024 semasa mereka bermain dengan sebuah peranti digital di Banda Aceh, Aceh. (Gambar: AFP/Chaideer Mahyuddin)
JAKARTA: Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia (Menkomdigi) Meutya Hafid mendedahkan bahawa kanak-kanak di Indonesia menggunakan internet secara purata selama 5.4 jam sehari.

Data tersebut merupakan laporan daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang disampaikan beliau semasa peringatan Hari Kanak-Kanak Sedunia di Hotel Lumire, Jakarta.

"Kanak-kanak kita menurut UNICEF menggunakan internet 5.4 jam sehari," kata Encik Meutya pada Khamis (20 Nov).

Daripada data itu, 50 peratus mengaku terdedah kepada kandungan dewasa.

Selain itu, kira-kira 45 peratus juga mengalami gangguan atau buli di ruang digital.

"Lebih kurang begitu. Buli sekitar 45 peratus, ini juga data yang kami pegang saat ini, yang berlaku melalui aplikasi digital, khususnya untuk bersembang," kata Encik Meutya, seperti dipetik Kompas.

Menurut data UNICEF itu, penggunaan internet oleh kanak-kanak secara purata 5.4 jam sehari sudah berada pada tahap membimbangkan.

Ini kerana kanak-kanak yang sering terdedah kepada perkara negatif di internet cenderung menjadi lebih mudah marah dan emosional.

PENGGUNAAN SKRIN BAGI KANAK-KANAK SG

Sebagai perbandingan, menurut dapatan tinjauan oleh Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH) pada 2022, kebanyakan kanak-kanak berusia antara tiga hingga tujuh tahun di Singapura secara purata meluangkan dua jam sehari pada hujung minggu.

Tinjauan Keibubapaan Digital 2025 oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pula mendapati 16 peratus daripada kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun meluangkan lebih empat jam sehari menggunakan peranti digital pada hujung minggu.

Sebanyak 19 peratus kanak-kanak berusia tujuh hingga sembilan tahun serta 28 peratus kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun meluangkan lebih empat jam sehari menggunakan peranti digital pada hujung minggu.

Ini jauh melebihi saranan pemerintah Singapura, di mana ia menggalakkan penggunaan skrin tidak melebihi satu jam sehari bagi kanak-kanak antara dua hingga enam tahun, dan tidak melebihi dua jam sehari bagi kanak-kanak tujuh hingga 12 tahun.

PERANAN IBU BAPA PENTING

Oleh itu, Encik Meutya mengingatkan peranan ibu bapa untuk memberi pemahaman mengenai internet dan ruang digital.

Apatah lagi, tidak dapat dinafikan bahawa internet juga mempunyai pelbagai kesan positif untuk menambah ilmu pengetahuan kanak-kanak.

"Berjalan sendirian sahaja ibarat kita mengabaikan. Kanak-kanak kita berlari di ruang yang tidak mesra kanak-kanak, dan ibu bapa atau kebanyakan ibu bapa masih membiarkan anak-anak kita berlari sendirian di ruang itu," kata Encik Meutya.

Sebelum ini, Polis Republik Indonesia (Polri) mencadangkan empat langkah strategik untuk mengukuhkan perlindungan kanak-kanak selepas kejadian letupan di SMAN 72, Kelapa Gading, Jakarta.

Kepala Biro Penerangan Masyarakat (Karopenmas) Polri Brigadier Jeneral (Pol) Trunoyudo Wisnu Andiko menjelaskan bahawa salah satu cadangannya ialah pembatasan media sosial untuk kanak-kanak bawah umur.

"Polri mencadangkan empat langkah utama. Pertama, kajian regulasi berkaitan pembatasan dan pengawasan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah umur," kata Encik Trunoyudo pada Selasa (18 Nov).

Cadangan kedua ialah penubuhan pasukan yang menyepadukan kementerian/lembaga untuk pengesanan awal, pendidikan, intervensi pencegahan, penguatkuasaan undang-undang, pendampingan psikologi dan pengawasan selepas intervensi.

Ketiga, penyusunan standard operasi prosedur (SOP) teknikal supaya penanganan institusi dapat dilakukan dengan cepat, seragam, dan mengikut mandat.

Cadangan terakhir ialah pelibatan ibu bapa, guru, hingga masyarakat luas untuk memutuskan rangkaian memikat anggota kumpulan radikalisasi secara online.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita