Skip to main content

Dunia

Kanak-kanak hilang ditemui selamat di Selangor; polis Malaysia berkas 5 individu bagi kes culik, serangan seksual

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak hilang ditemui selamat di Selangor; polis Malaysia berkas 5 individu bagi kes culik, serangan seksual

Gambar: Zamzahuri Abas/CNA

Diterbitkan : 23 Jul 2024 02:51PM
JOHOR BAHRU: Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui yang dilaporkan hilang di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri Sabtu lalu (21 Jul), ditemui selamat lebih 350 kilometer di Selangor.

Polis Malaysia sudah memberkas lima individu - tiga lelaki, dua wanita - secara keseluruhannya untuk membantu siasatan berkait kes berkenaan.

Dalam satu sidang media pada Selasa, Ketua Polis Johor Komisioner M. Kumar mengesahkan bahawa dia ditemui dalam keadaan selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor, sebuah daerah yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Kuala Lumpur.
Related article image
Ketua Polis Johor Komisioner M. Kumar. (Gambar fail: Polis Daerah Iskandar Puteri/Facebook)
Encik Kumar berkata mangsa berada dalam keadaan selamat.

Menurut beliau, mangsa ditemui dengan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun sekitar jam 4.45 Selasa pagi (23 Jul).

"Mangsa berada dalam keadaan selamat dan kini berada di hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

"Tiada kecederaan fizikal pada mangsa," katanya pada Selasa, lapor agensi berita Astro Awani.

Mengulas lanjut, Encik Kumar berkata motif penculikan masih dalam siasatan, selain tiada sebarang wang pampasan dituntut.

Ketika ini, lima individu tempatan telah ditahan, di mana empat daripada mereka telah direman selama empat hari, manakala seorang lagi yang baru ditahan pagi Selasa akan direman petang pada hari itu.

Kelima-lima suspek tersebut, menurut ketia polis itu, tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mangsa terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

"Mangsa itu sudahpun dihantar ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan lanjut, keluarganya (juga) sudah dimaklumkan," jelas ketua polis itu.

Beliau menambah kes berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh 48 jam dengan maklumat yang diberikan orang awam serta usaha daripada kesemua jabatan pasukan polis Malaysia.

Pada Sabtu lalu, mangsa disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam, dipetik daripada Astro Awani.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, kanak-kanak itu berketinggian kira-kira 120 sentimeter dan rambutnya panjang berwarna hitam selain berkulit cerah dan bertubuh kurus sederhana.

Ketika hilang, kanak-kanak itu memakai baju t-shirt putih bergambar 'Mickey Mouse' dan berseluar pendek.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita