Skip to main content

Dunia

Kanak-kanak diterbangkan dari Pulau Tioman ke Hospital Kuantan bukan kerana strok haba

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak diterbangkan dari Pulau Tioman ke Hospital Kuantan bukan kerana strok haba

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) Dr Nor Azimi Yunus. (Gambar fail: BERNAMA)

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengesahkan kejadian kanak-kanak lelaki dari Pulau Tioman, Rompin dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang, menggunakan helikopter, bukan disebabkan oleh strok haba. 

Pengarah JKNP Dr Nor Azimi Yunus berkata kanak-kanak berusia lapan tahun itu dirujuk oleh Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman ke HTAA pada pukul 11.45 malam Rabu (3 Mei) dengan diagnosis meningitis, iaitu jangkitan kuman di otak. 

Sehubungan itu, pihak terlibat menggerakkan penerbangan ihsan menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membawa kanak-kanak itu ke hospital dengan segera. 

"Pesakit mendapatkan rawatan dengan simptom sawan setelah mengalami demam, muntah dan keletihan selama dua hari sebelumnya. 

"Pesakit telah dirawat di Jabatan Kecemasan HTAA dan siasatan melalui imbas CT dan pengambilan darah mendapati diagnosis adalah meningoencephalitis iaitu jangkitan pada otak," katanya menerusi kenyataan pada Khamis (4 Mei).

Dr Nor Azimi berkata pesakit sudahpun diberikan rawatan dan berada dalam keadaan stabil serta dimasukkan ke Wad Kanak-Kanak HTAA untuk rawatan selanjutnya. 

Awal dari itu, sebuah portal media melaporkan seorang kanak-kanak diterbangkan dari Pulau Tioman ke Pangkalan Udara Kuantan sebelum dibawa ke HTAA kerana dipercayai mengalami strok haba. 

Pada kenyataan itu, Dr Nor Azimi juga merujuk kepada maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa suhu harian di Pahang adalah kurang daripada 35 darjah Celsius dan masih terkawal. 

Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kesan kesihatan akibat cuaca panas, selain boleh memantau gelombang haba di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/. 
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita