Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kanak-kanak di Terengganu maut disengat tebuan

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA NERUS: Kegembiraan tiga beradik bermain di padang permainan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut disengat tebuan, di Kampung Tok Jembal, kira-kira 5.40 petang Ahad (26 Jun).

Mangsa, Eidrish Mohd Khalid, 5 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 11.20 malam hari berikutnya selepas terkena 60 sengatan di seluruh bahagian badan.

Bapa mangsa, Mohd Khalil Omar, 40 tahun, berkata ketika kejadian, dia bersama isteri Norliza Shaparuddin, 36 tahun, dan tiga anaknya sedang bercuti di kampung dan merancang untuk bertolak pulang ke Ipoh kira-kira 6 petang.

Bagaimanapun, ketika bersiap-siap untuk pulang, dia didatangi anak sulungnya Nur Adelya Qaisara, 10 tahun, memaklumkan adiknya diserang tebuan yang keluar dari sarang di bawah rangka pelantar jeti terapung terbiar di kawasan berkenaan.

“Sebaik mendengar jeritan Adelya, saya terus berlari ke tempat kejadian dan melihat Eidrish sudah terbaring di tanah dengan tebuan penuh satu badan.

"Ketika saya mendukungnya naik ke rumah, dia (Eidrish) masih bernyawa, tetapi sangat lemah dan kaku tidak menjerit atau menangis," katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Tok Jembal, pada Isnin.

Selain Eidrish, Encik Mohd Khalid berkata dia serta dua anaknya, Nur Adelya Qaisara serta Nur Aiyris Dania, 7 tahun,  turut terkena sengatan.

"Adelya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ kerana terkena dua sengatan manakala Aiyris pula dirawat sebagai pesakit luar.

"Saya pula sepatutnya dirawat di wad kerana terkena hampir 20 sengatan, tetapi terpaksa pulang untuk menguruskan pengebumian Eidrish kira-kira 10 pagi tadi," katanya.

Encik Mohd Khalid berkata dia reda dengan pemergian anak ketiganya itu, tetapi kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak yang membiarkan rangka pelantar jeti tersebut di kawasan padang permainan tanpa penyenggaraan.

"Tidak sepatutnya rangka pelantar jeti ditinggalkan di kawasan padang permainan kerana ia boleh menjadi habitat pelbagai haiwan berbisa.

"Saya harap pihak berkenaan  seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan sebelum nyawa lain terkorban," katanya.
Sumber : Bernama/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan