Kanak-kanak di Indonesia cedera selepas makan kudapan bersalut cecair nitrogen
Pemerintah Indonesia menyeru penguasa kesihatan tempatan supaya memantau pertubuhan makanan dan menggesa ibu bapa agar lebih berwaspada selepas terdapat laporan mengenai beberapa kanak-kanak yang cedera setelah memakan sejenis cemilan yang disalut dengan cecair nitrogen.
(Gambar: Shutterstock)
JAKARTA: Pemerintah Indonesia menyeru penguasa kesihatan tempatan supaya memantau pertubuhan makanan dan menggesa ibu bapa agar lebih berwaspada selepas terdapat laporan mengenai beberapa kanak-kanak yang cedera setelah memakan sejenis cemilan yang disalut dengan cecair nitrogen.
Kudapan itu - yang dikenali sebagai 'chiki ngebul' dan seringkali dirujuk sebagai 'nafas naga' - adalah sejenis pencuci mulut berwarna-warni yang disaluti dengan kabus cecair nitrogen.
Ia tular di media sosial baru-baru ini apabila kanak-kanak merakam diri mereka sedang memakan kudapan itu. Mereka kemudian menghembuskan kabus cecair nitrogen keluar daripada mulut mereka.
Dalam satu kenyataan pada 11 Januari, kementerian kesihatan Indonesia menggariskan bahaya memakan cemilan itu. Menurutnya, cemilan itu jika dimakan untuk tempoh yang lama, boleh menimbulkan masalah kesihatan yang serius.
Kementerian itu memberi amaran bahawa pengambilan secara berlebihan cemilan yang disaluti cecair nitrogen itu boleh menyebabkan kelecuran dalam perut, keradangan, kelecuran akibat sejuk serta kerosakan pada organ dalaman.
Ia menambah bahawa menghidu asap nitrogen buat tempoh berpanjangan juga boleh membawa kepada masalah pernafasan yang teruk.
Pada Selasa (17 Jan), The Guardian melaporkan bahawa sekitar 25 kanak-kanak terjejas setelah mengambil cemilan itu, di mana dua daripadanya telah dimasukkan ke hospital.
Pengarah Kesihatan Alam Sekitar di Kementerian Kesihatan Indonesia, Anas Ma'ruf, dipetik oleh Jakarta Post pada Khamis lalu (12 Jan) sebagai berkata bahawa terdapat sekurang-kurangnya sembilan kes berlaku kecederaan tahun ini yang melibatkan kanak-kanak yang memakan kudapan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.