Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kanak-kanak di England sumbang kepada kenaikan kes COVID-19

Penularan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak di England menyumbang kepada kenaikan kes baru-baru ini di seluruh negara itu dan menimbulkan keprihatinan dalam kalangan saintis bahawa program vaksinasi dilancarkan terlalu perlahan di sekolah.

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak di England sumbang kepada kenaikan kes COVID-19

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 19 Oct 2021 06:43PM Dikemas Kini : 19 Oct 2021 06:45PM

LONDON: Penularan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak di England menyumbang kepada kenaikan kes baru-baru ini di seluruh negara itu dan menimbulkan keprihatinan dalam kalangan saintis bahawa program vaksinasi dilancarkan terlalu perlahan di sekolah. Ini sekali gus mengancam kebajikan kanak-kanak dan orang dewasa.

Jumlah kes COVID-19 di Britain secara keseluruhan adalah jauh lebih tinggi berbanding negara-negara Eropah yang lain dan jumlahnya semakin bertambah.

Pada Jumaat (15 Okt), satu kajian membayangkan bahawa jumlah kes berada di tahap tertinggi sejak Januari, dengan 8 peratus pelajar sekolah menengah terkena jangkitan koronavirus.

Kadar vaksinasi bagi kumpulan usia itu di England jauh ketinggalan berbanding banyak negara Eropah dan juga di Scotland, yang mana para saintis mengaitkannya dengan mesej mengelirukan yang diberikan berhubung vaksinasi untuk kanak-kanak, permulaan yang lewat dan tiada fleksibiliti dari segi pelancarannya.

"Kebimbangan pada ketika ini adalah jelas program vaksinasi untuk pelajar berusia 12 hingga 15 tahun tidak berjalan lancar," kata pakar virologi di Universiti Warwick, Lawrence Young kepada Reuters.

Menurut Encik Young, penularan virus lain mungkin akan menyebabkan "keadaan huru-hara" semasa musim sejuk bagi Perkhidmatan Kesihatan Nasional jika kes merebak kepada orang-orang dewasa yang lebih berumur dan mudah terjejas.

Pada bulan lalu, ketua pegawai perubatan Britain menyarankan agar golongan remaja berusia 12 hingga 15 tahun diberikan vaksin COVID-19 untuk bantu mengurangkan gangguan terhadap pendidikan mereka.

Namun, setelah beberapa pelajar dan guru tidak dapat hadir ke sekolah kerana dijangkiti COVID-19, ada yang bertanggapan bahawa pelancaran program vaksinasi itu sudah lambat.

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan