Skip to main content

Dunia

Kanak-kanak dan remaja perempuan mangsa utama krisis kemanusiaan

Kanak-kanak dan remaja perempuan menjadi mangsa utama dalam krisis kemanusiaan, daripada perkahwinan paksa hingga tidak dibenarkan bersekolah.

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak dan remaja perempuan mangsa utama krisis kemanusiaan

Kanak-kanak dan remaja perempuan yang ditemu bual oleh Plan International. (Gambar: Dibyangshu Sarkar/AFP)

Diterbitkan : 24 Sep 2018 09:57AM Dikemas Kini : 24 Sep 2018 09:59AM

PARIS : Kanak-kanak dan remaja perempuan menjadi mangsa utama dalam krisis kemanusiaan, daripada perkahwinan paksa hingga tidak dibenarkan bersekolah. Mereka juga berdepan risiko kematian "14 kali ganda lebih tinggi dari remaja lelaki dalam konflik," menurut pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Plan International.

Plan International hari ini (24 Sep) akan mendedahkan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) kesimpulan daripada tiga siasatan terhadap nasib anak-anak muda - etnik Rohingya dari Myanmar di kem pelarian di Bangladesh, kumpulan kedua di Chad Basin dan ketiga di Selatan Sudan - kesemuanya dianggap "kawasan tidak stabil".

Penyelidikan itu memberi tumpuan ke atas masalah perkahwinan paksa, penculikan, penderaan seksual, perhambaan dan kekurangan peluang untuk melanjutkan pelajaran.

Dalam kem-kem pelarian sesak dengan penghuni di Uganda, kumpulan berkenaan menemuramah 249 perempuan berusia 10 hingga 19 tahun dari Selatan Sudan yang menggambarkan bahawa "keganasan berterusan sudah menjadi satu kebiasaan di rumah dan dalam masyarakat."

“Ia bukan satu perkara mengejutkan kerana konflik di Selatan Sudan dibentuk oleh kekejaman yang berleluasa termasuk ke atas kaum wanita dan kanak-kanak, “ kata laporan berkenaan.

Laporan berkenaan juga menyebut bahawa sekurang-kurangnya seorang daripada setiap empat remaja terfikir untuk membunuh diri manakala 77 peratus lagi memberitahu, mereka tidak pernah mempunyai makanan yang mencukupi.

Di Chad Basin pula, seorang daripada setiap tiga remaja memberitahu bahawa mereka tidak berasa selamat di rumah sendiri. Seorang daripada setiap lima remaja dipukul setiap hari manakala seorang daripada sepuluh remaja mengalami penderaan seksual.

Dari 449 remaja perempuan yang ditemuramah di Nigeria, Niger dan Cameroon, dua pertiga daripadanya terpisah daripada ayah berikutan konflik manakala 30 peratus lagi terpisah daripada kedua-dua ibu bapa.

Remaja perempuan di kem pelarian di sempadan Bangladesh di Cox's Bazaar juga tidak mendapat pendidikan. Hampir dua pertiga daripada mereka berkata mereka kurang pendidikan kerana pelbagai sebab termasuk kelaparan, dipukul, dirogol, diculik dan dipaksa melacur diri.

Satu daripada setiap lima remaja perempuan berusia antara 13 dengan 15 tahun dipaksa berkahwin, tambah Plan International. 

Sumber : AFP/EM/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita