Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan sertai musim haji 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan sertai musim haji 2025

Seorang kanak-kanak di tanah suci Makkah. (Gambar: AFP/KHALED DESOUKI)

Diterbitkan : 11 Feb 2025 11:04PM Dikemas Kini : 12 Feb 2025 08:15AM
RIYADH: Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan peraturan baharu bagi musim haji 2025 dengan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan untuk menyertai jemaah haji ke Tanah Suci, lapor Azernews.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menyatakan bahawa langkah itu bertujuan untuk melindungi kanak-kanak daripada risiko berbahaya akibat kesesakan yang luar biasa setiap tahun semasa musim haji.

"Kami mengambil langkah ini untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta mengurangkan sebarang bahaya yang mungkin berlaku semasa perjalanan haji,” menurut kementerian itu dalam kenyataannya baru-baru ini.

Sebagai tambahan kepada langkah itu, kementerian itu juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan jemaah haji.

Ini termasuk kempen kesedaran mengenai keselamatan mandiri, pengenalan sistem bijak yang direka untuk membimbing dan mengawal pergerakan jemaah haji ke kawasan ibadah dan pemodenan khemah serta laluan untuk meningkatkan keselesaan bagi memudahkan pelaksanaan ibadah haji, menurut Azernews.

Selain itu, kementerian tersebut turut mengumumkan bahawa keutamaan akan diberikan kepada jemaah yang menunaikan ibadah haji buat kali pertama pada tahun 2025 ini.

Sebelum ini, Arab Saudi juga telah mengumumkan perubahan penting kepada dasar visa haji.

Bermula 1 Februari, jemaah dari 14 negara hanya akan layak untuk mendapatkan visa masuk tunggal.

Perubahan itu bertujuan untuk mengurangkan amalan menunaikan haji tanpa kebenaran yang sah.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan