Skip to main content

Dunia

Kanak-kanak 7 tahun maut tercekik rambutan

“Tidak nampak banyak perubahan pada diri arwah sebelum ini cuma saya agak terkejut apabila dimaklumkan dia makan rambutan kerana sebelum ini dia tidak suka sangat rambutan, cuma kadang-kadang saja makan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak 7 tahun maut tercekik rambutan

Muhammad Fahim Ilmi. (Gambar: Facebook/RadarBahaya)

Diterbitkan : 06 Aug 2018 11:13AM Dikemas Kini : 06 Aug 2018 11:23AM

ALOR SETAR: “Arwah sebelum ini tak berapa suka makan rambutan, tetapi tidak sangka hari ini dia makan sehingga meragut nyawanya,” kata Encik Mohd Fairuz Zaiyadi, 37 tahun, bapa kepada murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sintok yang meninggal dunia akibat tercekik buah rambutan petang semalam (5 Ogos). Ini menurut BH Online.

Sekitar jam 2.00 petang, Muhammad Fahim Ilmi, 7 tahun, dikatakan mengambil rambutan di atas meja guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok, Changlun, sambil menunggu ibunya selesai bertugas, lapor BH Online.

Encik Mohd Fairuz yang juga ahli kumpulan nasyid Firdaus berkata beliau sedang bekerja di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok sebelum dihubungi isteri memaklumkan kejadian yang menimpa anak mereka.

“Isteri saya menghantar anak sulung kami itu ke Klinik Kesihatan Changlun dan doktor berusaha menyelamatkannya termasuk memberi bantuan oksigen namun gagal.

“Ketika itu keadaan dia agak kritikal sebelum disahkan meninggal dunia. Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB.

Encik Mohd Fairuz berkata bahawa, walaupun terkejut dengan kejadian yang menimpa anak sulung dari tiga beradik itu, beliau dan isterinya, Cik Rosnah Ilias, 36 tahun, reda dengan apa yang berlaku.

BH Online melaporkan bahawa jenazah anak pasangan Encik Mohd Fairuz dan isterinya Cik Rosnah, akan dikebumikan di Nibong Tebal, Pulau Pinang sejurus dibedah siasat.

“Tidak nampak banyak perubahan pada diri arwah sebelum ini cuma saya agak terkejut apabila dimaklumkan dia makan rambutan kerana sebelum ini dia tidak suka sangat rambutan, cuma kadang-kadang saja makan.

“Mungkin ajalnya sudah sampai dan arwah seorang anak yang baik,” katanya.

Menurut Encik Mohd Fairuz, anaknya, Mohd Fahim seorang yang aktif di sekolahnya, malah ketika di tadika, beliau aktif dalam kumpulan nasyid.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita