Skip to main content

Dunia

Kanak-kanak 6 tahun diserang ikan jerung di akuarium terbuka di pusat beli-belah China

Seorang jurucakap Hospital Awam Wilayah Guizhou memberitahu South China Morning Post, doktor yang merawat budak itu tidak dapat dihubungi untuk mengulas tentang keadaannya pada hari Jumaat (27 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak 6 tahun diserang ikan jerung di akuarium terbuka di pusat beli-belah China

Rakaman CCTV semasa kanak-kanak itu diserang. (Gambar: PEAR VIDEO)

Diterbitkan : 29 Jul 2018 09:59PM Dikemas Kini : 29 Jul 2018 11:06PM

CHINA: Seorang kanak-kanak mengalami luka-luka dalam dan beberapa tulang tangannya patah akibat digigit seekor ikan jerung di akuarium terbuka di pusat beli-belah di barat daya China.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu, yang hanya dikenali sebagai Xiao Li, pada waktu itu sedang melihat ikan jerung di akuarium itu dengan nenek dan makciknya pada hari Selasa (24 Jul) apabila salah seekor ikan jerung itu melompat dan menggigit tangannya, menurut laman berita Colorful Guizhou.

Nama pusat beli-belah di bandar Guiyang, wilayah Guizhou itu tidak didedahkan dalam laporan pada hari Khamis (26 Jul).

Budak itu mengalami patah tulang di sembilan bahagian di tangan kanannya dan luka-luka dalam, menurut laporan itu. Beberapa gambar online menunjukkan tangannya berlumuran darah dengan luka sepanjang lima sentimeter. Doktor yang merawat budak tersebut memberitahu laman web berita itu bahawa dia mungkin memerlukan pembedahan jika tangannya tidak sembuh dengan baik.

Seorang jurucakap Hospital Awam Wilayah Guizhou memberitahu South China Morning Post, doktor yang merawat budak itu tidak dapat dihubungi untuk mengulas tentang keadaannya pada hari Jumaat (27 Jul).

Ibunya, Cik Wang, memberitahu Pear Video dalam satu wawancara bahawa Xiao Li tidak meletakkan tangannya ke dalam akuarium. "Dia bersandar pada kaca akuarium," kata Cik Wang dalam video itu. "Tetapi dia tidak memasukkan tangannya ke dalam air - ikan jerung itu tiba-tiba melompat keluar dari air dan menyerangnya."

Bagaimanapun, seorang pengurus jualan di pusat beli-belah itu mendakwa budak itu meletakkan tangannya ke dalam akuarium tersebut.

"Daripada rakaman CCTV kami, kanak-kanak itu dilihat cuba memasukkan tangannya dalam air, itulah sebabnya ini berlaku," katanya dalam video itu. "Jika anda tidak meletakkan tangan anda ke dalam air, seekor ikan jerung lazimnya tidak akan melompat dan menyerang."

Xiao Li dilihat dalam rakaman CCTV bersandar pada kaca akuarium itu bersama neneknya.

Orang ramai melompat ke belakang apabila ikan jerung itu tiba-tiba menyerang, tetapi tidak jelas dari rakaman sama ada dia meletakkan tangannya ke dalam.

Pengurus jualan itu berkata bahawa kakitangan di pusat beli-belah itu perlu sentiasa memastikan para pengunjung tidak terlalu dekat dengan akuarium.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita