Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kanak-kanak 4 tahun maut akibat didera; 5 individu diberkas

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak 4 tahun maut akibat didera; 5 individu diberkas

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat. (Gambar: Bernama)

JOHOR BAHRU: Kesan pukulan dan kelecuran akibat benda panas, adalah antara kecederaan teruk dialami kanak-kanak lelaki empat tahun yang meninggal dunia, dipercayai akibat didera.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata berdasarkan hasil pemeriksaan awal, terdapat kesan kecederaan teruk hampir pada seluruh badan kanak-kanak berkenaan yang meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, petang Isnin (26 Dis).

“Pemeriksaan terhadap jenazah amat mendukacitakan dan menyedihkan kerana hampir seluruh badan terdapat kecederaan daripada kepala sampai kaki."

“Kesan kecederaan mungkin akibat dipukul dan lecur sama ada api atau benda yang panas di seluruh badan termasuk atas kemaluan,” katanya ketika ditemui wartawan di Unit Forensik HSI pada Selasa (27 Dis).

Beliau berkata mangsa yang juga anak bongsu daripada 11 beradik menjalani rawatan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 23 Disember lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada 6.40 petang Isnin.

Encik Kamarul Zaman berkata kesan kecederaan yang dikenal pasti itu adalah kecederaan baru serta lama dan polis masih menunggu hasil bedah siasat ke atas mangsa.

Mengulas lanjut, beliau berkata anak bongsu daripada 11 beradik itu dijaga kakaknya yang juga anak ketiga dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas kedua-dua ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat dadah sejak September lalu.

Beliau berkata mangsa kemudiannya diserahkan kepada rakan kakaknya, yang sempat menjaga kira-kira dua minggu sebelum suami kepada rakan kakaknya (pengadu) menyedari kanak-kanak berkenaan pengsan di rumah di Senggarang, Batu Pahat, lalu membawanya ke klinik untuk rawatan.

“Rakan kepada kakak mangsa merasakan bahawa kakak mangsa tidak mampu hendak jaga, jadi dia cadangkan agar beri dia jaga."

“Apabila (mangsa) dibawa kepada pengadu, dia melihat mangsa dalam keadaan tidak bermaya, sakit dan dibawa ke hospital yang kemudiannya dinasihatkan oleh doktor untuk buat aduan polis,” katanya.

Encik Kamarul Zaman menjelaskan setakat ini, lima individu berusia 15 hingga 37 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan, termasuk kakaknya yang berusia 19 tahun dan suami kakaknya berusia 37 tahun.

Beliau berkata jenazah akan diserahkan kepada waris yang disahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setelah selesai proses bedah siasat.

Awal dari itu, Kamarul Zaman menerusi kenyataannya berkata mangsa dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 23 Disember lalu selepas dilaporkan pengsan di rumah rakan kepada kakak kandungnya di Senggarang, Batu Pahat sebelum meninggal dunia pada Isnin.

Mangsa katanya dijaga oleh kakak kandungnya itu setelah ibu dan bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah dan kemudian mangsa diserahkan kepada rakan kakaknya (pengadu) untuk dijaga.

Kamarul Zaman berkata kesemua yang ditahan, direman tujuh hari bermula Ahad (25 Dis) sehingga Sabtu (31 Dis) dan kes yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan