Skip to main content

Dunia

Kanak-kanak 2 tahun maut terjatuh kerusi bayi di restoran Johor Bahru

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak 2 tahun maut terjatuh kerusi bayi di restoran Johor Bahru

(Gambar hiasan: Jep Gambardella/Pexels)

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas terjatuh dari kerusi bayi ketika menjamu selera di sebuah restoran dekat Taman Sutera di Johor Bahru pada Selasa (4 Okt), lapor Astro AWANI. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah, berkata dalam insiden kira-kira pukul 3.00 petang, kanak-kanak warga tempatan itu dikatakan sedang makan bersama keluarganya di restoran berkenaan sebelum terjatuh lalu kepalanya terhentak di lantai.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati, ketika sedang makan, kanak-kanak itu bertindak luar kawalan dengan menolak meja menggunakan kakinya sehingga menyebabkan kerusi bayi yang didudukinya terjatuh.

"Siasatan polis mendapati, bapa dan ibu kanak-kanak itu membawanya ke restoran berkenaan kira-kira pukul 2.00 petang dan meletakkan anak mereka itu di dalam kerusi bayi.

"Kira-kira pukul 3.00 petang, ketika sedang makan, kanak-kanak berkenaan bertindak luar kawalan dengan menolak meja menggunakan kakinya hingga menyebabkan kerusi bayi yang didudukinya jatuh dan kepalanya terhentak di lantai.

"Kanak-kanak itu kemudian menangis dengan kuat sebelum pengsan," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu (5 Okt). 

Jelas Encik Fariz Ammar, kejadian itu turut disaksikan pekerja restoran tersebut.

Beliau menambah sejurus insiden itu, bapa kanak-kanak tersebut bergegas membawa anaknya ke klinik swasta, namun dinasihatkan doktor untuk dihantar terus ke hospital selepas keadaan budak itu kelihatan teruk.

"Bapa kanak-kanak itu kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas.

"Mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA), untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"Sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kejadian itu, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan. Kertas siasatan dibuka atas laporan mati mengejut (SDR)," katanya, seperti ditukil Astro AWANI. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita