Skip to main content

Dunia

Kanak-kanak 2 tahun maut disengat ampai-ampai di Langkawi

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak 2 tahun maut disengat ampai-ampai di Langkawi
Gambar fail ampai-ampai kotak. (Gambar: iStock/m-kojot)
Diterbitkan : 21 Nov 2025 12:29PM
  • Seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia berusia dua tahun yang dilaporkan disengat ampai-ampai di Pantai Chenang, Langkawi pada Sabtu (15 Nov) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada Rabu (19 Nov).
  • Bapa kanak-kanak itu, Nikita Iakubanets, 32 tahun, berkata anaknya Vladimir disahkan meninggal dunia pada pukul 9.46 pagi selepas empat hari menerima rawatan di hospital itu.
  • Encik Iakubanets berkata isterinya kemudian mengangkat anak mereka ke pantai dan cuba memberi bantuan pernafasan sebelum membawanya ke sebuah klinik berhampiran.
  • Sementara itu, Cik Olga berkata beliau dan suaminya bercadang untuk membawa pulang abu mayat anak mereka ke Khabarovsk, Rusia.
Dijana oleh AI
ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia berusia dua tahun yang dilaporkan disengat ampai-ampai di Pantai Chenang, Langkawi pada Sabtu (15 Nov) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada Rabu (19 Nov).

Bapa kanak-kanak itu, Nikita Iakubanets, 32 tahun, berkata anaknya Vladimir disahkan meninggal dunia pada pukul 9.46 pagi selepas empat hari menerima rawatan di hospital itu.

“Anak saya telah terkena kesan racun ampai-ampai yang menjejas jantungnya. Doktor juga berkata yang anak saya mengalami kecederaan sangat teruk di kakinya.

“Menurut doktor, kecederaan itu disebabkan oleh sengatan ampai-ampai dan ia adalah ampai-ampai kotak atau 'box jellyfish',” katanya ketika ditemui di sebuah hotel.

Encik Iakubanets yang ditemani isterinya Olga, 32 tahun, berkata pasukan perubatan di HSB sudah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan anaknya dan merakamkan penghargaan atas usaha mereka.

Menceritakan kejadian pada pagi Sabtu lalu, Encik Iakubanets berkata beliau bersama isteri dan anaknya sedang mandi di Pantai Chenang sebelum anaknya menjerit kesakitan.

Encik Iakubanets berkata isterinya kemudian mengangkat anak mereka ke pantai dan cuba memberi bantuan pernafasan sebelum membawanya ke sebuah klinik berhampiran.

Beliau berkata anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi sebelum dihantar ke HSB untuk mendapatkan rawatan lanjut keesokannya.

Encik Iakubanets berkata ini merupakan kali pertama mereka sekeluarga ke Langkawi dan Malaysia selepas tiba pada 14 November serta bercadang berada di negara ini sehingga 26 November.

Sementara itu, Cik Olga berkata beliau dan suaminya bercadang untuk membawa pulang abu mayat anak mereka ke Khabarovsk, Rusia.

“Dia (Vladimir) adalah wira kami. Setiap hari kami memberitahunya bahawa kami menyayanginya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak warga Rusia berusia dua tahun dimasukkan ke hospital selepas dikatakan disengat ampai-ampai dalam kejadian di Pantai Chenang, Langkawi pada Sabtu.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita