Kanak-kanak 1 tahun ini individu paling muda sampai ke Kem Pangkalan Gunung Annapurna

Akshra Ragavendra di Kem Pangkalan Gunung Annapurna. (Gambar: Instagram/Sheena Prasannan)
PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak berusia setahun mencipta sejarah dengan menjadi individu termuda di dunia untuk sampai ke Kem Pangkalan Gunung Annapurna di Nepal.
Pada bulan Julai, ibu bapa Akshra Ragavendra, juruterbang Ragavendra Gopalakrishnan, 32 tahun, dan juga instruktor yoga Sheena Prasannan, 32 tahun, mendukungnya dalam abah-abah pendakian hingga ke kem pangkalan itu bagi meraikan ulang tahun pertamanya, menurut laporan The Star.
"Saya dan suami saya gemar mendaki dan anak perempuan kami sudah mendaki bersama kami sejak usianya tiga bulan.

"Kami mahu lakukan sesuatu yang berbeza bagi ulang tahunnya," kata Cik Sheena kepada The Star.
Mereka juga menjalani latihan selama lima minggu di Jejak Pendakian Bukit padang di Tun Fuad Stephens Park, Kota Kinabalu bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat dan cergas, menurut The Star.
Pasangan itu memulakan pendakian mereka pada 21 Julai dan tiba di tapak kem -pada ketinggian 4,130 meter - pada 23 Julai.
Ia memakan masa lagi tiga hari untuk turun dari kem pangkalan itu.
"Biasanya, pendakian ini mengambil masa lapan hingga 10 hari. Bagaimanapun, kami mengambil masa lebih lama untuk mendaki kerana kami mahu sampai ke puncak pada hari jadinya pada 23 Julai.

"Mujur anak perempuan tidak mengalami sebarang masalah akibat berada di tempat tinggi. Naluri keibuan saya memberitahu saya bahawa dia akan baik-baik sahaja. Akshra berjaya menyesuaikan diri dengan baik di kem pangkalan gunung Annapurna," kata Cik Sheena, yang pernah mendaki Gunung Kinabalu, Gunung Batur di Bali, Montseraat di Sepanyol dan Fiordland National Park di New Zealand.
Pasangan itu juga tidak pernah menyangka bahawa Akshra akan menjadi individu termuda di dunia untuk mencapai kem tersebut sehinggalah mereka memohon bagi permit pendakian di Kathmandu.

"Seorang pegawai memberitahu kami dia menjadi yang termuda jika dia berjaya. Itu menjadi pendorong bagi kami. Sepanjang jalan, para penduduk memberikan banyak sokongan kerana mereka belum pernah melihat seorang bayi dalam pendakian itu.
"Ramai pendaki terkejut apabila mendapati kami membawa bayi, dengan memikirkan ia sekadar beg," kongsi Cik Sheena lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.