Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kanada usir diplomat China dituduh ugut anggota parlimen

Anggaran Waktu Membaca:
Kanada usir diplomat China dituduh ugut anggota parlimen

Anggota Parlimen (AP) Konservatif Michael Chong. (Gambar: Twitter/WellingtonAdvertiser)

Diterbitkan : 09 May 2023 08:47AM Dikemas Kini : 09 May 2023 08:48AM
OTTAWA: Kanada pada Isnin (8 Mei) mengusir diplomat China yang berpangkalan di Toronto, Zhao Wei selepas satu laporan perisikan menuduhnya cuba mengancam seorang anggota parlimen Kanada yang mengkritik layanan Beijing terhadap minoriti Muslim Uyghur.

Menteri Luar Kanada Melanie Joly berkata: "Keputusan tersebut diambil setelah pertimbangan teliti terhadap semua faktor."

Langkah tersebut dilihat sebagai memburukkan lagi ketegangan dalam hubungan kedua-dua negara, yang mungkin mendorong China, rakan kongsi perdagangan kedua terbesar Kanada, untuk bertindak balas.

Kedutaan China di Ottawa tidak segera mengulas mengenai hal tersebut.

Agensi Perkhidmatan Perisikan Keselamatan Kanada (CSIS) mengeluarkan laporan pada 2021 tentang pengaruh China di Kanada, yang mengandungi maklumat mengenai potensi ancaman terhadap Anggota Parlimen (AP) Konservatif Michael Chong serta keluarganya.

China menyatakan ia tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal dalaman Kanada, bahkan, ia tidak mempunyai minat untuk berbuat demikian. Konsulat China di Toronto menegaskan bahawa laporan mengenai AP Chong "tiada asas fakta dan tidak berasas langsung."

Butiran mengenai laporan CSIS timbul pada 1 Mei, apabila akhbar Kanada, Globe and Mail melaporkan China sedang mencari maklumat mengenai AP Michael Chong serta keluarganya di China dalam usaha untuk "menjadikannya contoh" dalam menghalang pihak lain daripada mengambil pendirian yang menentang pemerintah China.

"Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk campur tangan dari luar," tekan Cik Joly pada Isnin.

Ketegangan dalam hubungan diplomatik antara Kanada dan China terus meruncing sejak penahanan pegawai eksekutif Huawei Technologies Meng Wanzhou pada 2018 serta dua warga Kanada yang ditahan di Beijing atas tuduhan perisikan. Ketiga-tiga mereka telah dibebaskan pada 2021.
 
Sumber : Reuters/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan