Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kanada tuduh India terlibat dalam pembunuhan warganya berketurunan Sikh

Anggaran Waktu Membaca:
Kanada tuduh India terlibat dalam pembunuhan warganya berketurunan Sikh

Bendera Khalistan dilihat di luar sebuah Gurdwara di Britain. (Gambar: Darryl Dyck/The Canadian Press menerusi AP)

OTTAWA:
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menuduh India terlibat dalam pembunuhan seorang pemimpin masyarakat Sikh yang berasal dari India, memburukkan lagi hubungan antara kedua-dua negara itu.

PM Trudeau yang berada di New Delhi awal bulan ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20, memberitahu Parlimen Kanada pada Isnin bahawa beliau membangkitkan isu pembunuhan Hardeep Singh Nijjar pada mesyuarat itu yang turut dihadiri Perdana Menteri Narendra Modi.

Mendiang Hardeep Singh Nijjar, 45 tahun, ketua gurdwara, ditembak mati pada 18 Jun lalu di bandar Surrey di wilayah British Columbia.

"Sejak beberapa minggu lepas, agensi keselamatan Kanada menyiasat potensi hubungan antara ejen kerajaan India dengan pembunuhan mendiang Nijjar, seorang warga Kanada.

"Kanada telah menyuarakan kebimbangannya kepada pegawai perisikan dan keselamatan tertinggi kerajaan India. Pada sidang G20 minggu lepas, saya secara peribadi dan berterus-terang bercakap dengan Perdana Menteri Modi," kata PM Trudeau kepada Dewan Rakyat Kanada.

Mendiang Nijjar, seorang penyokong gerakan pemisah Khalistan, diisytiharkan sebagai "pengganas" di India.

Pembunuhan itu mencetuskan bantahan secara meluas dan demonstrasi berlangsung di bandar-bandar utama di Kanada.

Kanada menjadi pilihan ramai diaspora kaum Sikh.

PM Kanada memberi jaminan kepada ahli parlimen bahawa melindungi keselamatan warga Kanada merupakan keutamaannya dan semua langkah akan diambil untuk menahan pelaku pembunuhan itu.
"Sebarang penglibatan kerajaan asing dalam pembunuhan warga Kanada di bumi Kanada adalah pencabulan kedaulatan dan tidak boleh diterima," kata PM Trudeau.

"Saya menggesa kerajaan India supaya bekerjasama dengan Kanada bagi menyelesaikan isu ini," katanya.

Pada Isnin (18 Sep) Kanada memecat seorang diplomat terkemuka India berhubung isu itu, kata Menteri Luar Kanada Melanie Joly.
"Kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk campur tangan asing," kata Cik Joly kepada pemberita.

Diplomat itu, Pavan Kumar Rai ialah ketua agensi perisikan asing India Research and Analysis Wing (RAW) di Kanada, lapor media Kanada, memetik pejabat Cik Joly.

Pemecatan itu berkemungkinan akan menambah lagi ketegangan hubungan India-Kanada.

Kenyataan India yang dikeluarkan selepas mesyuarat Modi-Trudeau pada 10 September lalu menyerlahkan kritikan PM Modi terhadap Kanada.
"Beliau menyuarakan kebimbangan kami mengenai aktiviti ekstremis anti-India di Kanada," katanya.

Kanada pada Jumaat turut mengumumkan pembatalan misi perdagangannya ke India di Mumbai pada Oktober depan.

Menteri Perdagangan India Piyush Goyal pada Sabtu memberitahu media tempatan bahawa rundingan perdagangan yang sedang berlangsung dengan Kanada, dihentikan kerana perselisihan faham itu.

"Kami menghentikan sementara dialog perdagangan dengan Kanada. Kami perlu mempunyai persetujuan yang sama dari segi geopolitik dan ekonomi,"katanya.

Encik Goyal juga menyebut mengenai beberapa isu "kebimbangan serius" dibangkitkan semasa pertemuan PM Modi dengan PM Trudeau baru-baru ini.
Sumber : AFP/AA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan