Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kanada perkenal langkah imigresen baru sokong penduduk warga Sudan

Anggaran Waktu Membaca:
KANADA: Kanada bakal memperkenalkan langkah-langkah imigresen baru untuk menyokong para penduduk warga Sudan yang kini berada di negaranya buat sementara waktu dan berkemungkinan tidak dapat pulang ke tanah air disebabkan kemelut yang bertambah meruncing di Sudan.

Demikian menurut pemerintah tersebut pada Isnin (24 Apr).

Pertempuran yang tercetus di antara pasukan bersenjata Sudan dengan pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Kilat (RSF) pada 15 April lalu telah meragut beratus-ratus nyawa, memusnahkan hospital dan khidmat lain. Ia juga mengubah kawasan kediaman menjadi zon perang.

Sejurus selepas langkah baru Kanada yang diumumkan Menteri Imigresen Kanada Sean Fraser dikuatkuasakan, warga Sudan boleh memohon untuk melanjutkan status mastautin mereka di Kanada dan ini akan diluluskan secara berperingkat bagi membolehkan mereka untuk terus belajar, bekerja atau menziarahi keluarga tanpa dikenakan sekatan, menurut pemerintah Kanada dalam satu kenyataan.

Untuk memudahkan permohonan imigresen bagi mereka yang masih berada di Sudan agar mereka dapat melakukan perjalanan sebaik sahaja ia selamat untuk berbuat demikian, pemerintah Kanada menyatakan pihaknya juga akan mengutamakan pemprosesan permohonan penduduk sementara dan tetap yang sudah lengkap dalam sistem oleh mereka yang masih berada di negara itu.

Ini termasuk permohonan visa pelawat bagi ahli keluarga rapat warga dan penduduk tetap Kanada yang layak, tambahnya.

Kanada juga akan mengecualikan yuran pasport dan dokumen perjalanan penduduk tetap bagi warganegara serta penduduk tetap Kanada di Sudan yang berhasrat untuk meninggalkan negara tersebut.
Sumber : Reuters/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan