Skip to main content

Dunia

Kanada luluskan ujian klinikal vaksin Ebola

Anggaran Waktu Membaca:
Kanada luluskan ujian klinikal vaksin Ebola
Logo Moderna dipaparkan dalam ilustrasi yang diambil pada 3 Mei 2022. (Gambar fail: REUTERS/Dado Ruvic)
Diterbitkan : 05 Aug 2026 12:02PM
MONTREAL, KANADA: Kanada meluluskan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat, Moderna, untuk memulakan ujian klinikal vaksin terhadap varian Ebola Bundibugyo, menurut Kementerian Kesihatan negara itu pada Selasa (4 Ogos).

Ujian Fasa 1 vaksin mRNA itu akan menilai tahap keselamatan vaksin, menentukan julat dos yang sesuai serta mengenal pasti sebarang kesan sampingan.

Setakat ini, tiada kes Ebola dicatat di Kanada.

Dalam ujian itu, sekumpulan peserta sihat akan menerima dos vaksin bagi menilai respons antibodi terhadap varian Bundibugyo.

Jika keputusan positif, vaksin itu akan melalui ujian klinikal seterusnya melibatkan kumpulan peserta yang lebih besar.

Vaksin tersebut menggunakan teknologi mRNA yang sama seperti vaksin COVID-19 keluaran Moderna.

Kanada, yang menutup sempadannya pada 20 Julai kepada semua warga asing yang baru pulang dari Republik Demokratik Congo (DR Congo), turut mencapai perjanjian dengan Moderna untuk mengeluarkan vaksin itu di Kanada.

Ketika ini, tiada vaksin atau rawatan yang diluluskan bagi varian Bundibugyo yang mencetuskan wabak Ebola yang diisytiharkan pada 15 Mei.

Beberapa calon vaksin lain juga sedang dibangunkan.

Vaksin yang disifatkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai paling berpotensi, dikenali sebagai rVSV Bundibugyo, akan dibangunkan oleh Hilleman Laboratories yang berpangkalan di Singapura.

Sementara itu, pada akhir Julai, sukarelawan pertama menerima dos awal satu lagi vaksin Bundibugyo yang dibangunkan Universiti Oxford di Britain, menggunakan teknologi sama seperti vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca.

Rawatan bagi Ebola juga sedang menjalani ujian klinikal selaras dengan saranan WHO.

Ebola, yang menular melalui sentuhan dengan cecair tubuh dan menyebabkan demam serta pendarahan, sudah meragut lebih 1,700 nyawa di DR Congo sejak Mei.
Sumber : AFP/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita