Skip to main content

Dunia

Kanada cetak amaran bahaya merokok pada setiap batang rokok

Anggaran Waktu Membaca:
Kanada cetak amaran bahaya merokok pada setiap batang rokok

Health Canada akan mencetak amaran bahaya merokok pada setiap batang rokok. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 01 Jun 2023 01:39PM
NEW YORK: Jabatan kesihatan Kanada, Health Canada, akan mencetak amaran bahaya merokok pada setiap batang rokok, satu langkah yang pertama seumpamanya di dunia.

Menurut agensi Berita Jerman, perokok akan dapat melihat amaran seperti "rokok menyebabkan barah" dan "racun dalam setiap sedutan" setiap kali mereka menghisap rokok.

Amaran lain yang dicetak pada rokok, termasuk "rokok merosakkan organ anda" dan "asap tembakau membahayakan kanak-kanak" apabila mandat persekutuan dilaksanakan ke atas rokok bersaiz 'king' mulai 1 Ogos.

Pengeluar rokok bersaiz biasa mempunyai masa sehingga 31 Julai 2024 untuk mencetak amaran pada rokok, manakala pengeluar cigarillo mempunyai masa sehingga 30 April 2025.

Menteri Kesihatan Bersekutu Kanada dan Menteri Kesihatan Mental dan Ketagihan, Carolyn Bennett, berkata amaran pada setiap batang rokok berserta "imej grafik terkini" pada pembungkusannya merupakan pendekatan baru dan berani dalam menyelamatkan nyawa.

"Penggunaan tembakau menyebabkan 48,000 kematian di Kanada setiap tahun dan kami menjadi negara pertama di dunia yang melabelkan setiap batang rokok dengan mesej amaran kesihatan," kata Cik Bennett.

Ketua Eksekutif Yayasan Jantung dan Strok Kanada, Doug Roth berkata: "Tembakau kekal sebagai punca utama penyakit dan kematian yang boleh dicegah di Kanada dan langkah baru yang penting ini akan melindungi belia dan membantu untuk berhenti merokok".

Seorang peguam antirokok memberitahu Canadian Broadcasting Corporation (CBC), beliau juga mahu melihat pembaharuan pembungkusan itu turut digunakan untuk produk vape.

Satu tinjauan yang diterbitkan baru-baru ini mendapati remaja di Kanada merupakan pengguna vape tertinggi di dunia.
Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita