Skip to main content

Dunia

Kanada akan iktiraf negara Palestin di Sidang PBB

Perdana Menteri Kanada Mark Carney mengumumkan pada Rabu (30 Jul) bahawa Kanada berhasrat untuk mengiktiraf negara Palestin semasa persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadualkan berlangsung September ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Kanada akan iktiraf negara Palestin di Sidang PBB

PM Kanada Mark Carney mengumumkan Kanada berhasrat untuk mengiktiraf negara Palestin pada persidangan PBB yang dijadualkan berlangsung September ini. (Gambar: Reuters)

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada Mark Carney mengumumkan pada Rabu (30 Jul) bahawa Kanada berhasrat untuk mengiktiraf negara Palestin semasa persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadualkan berlangsung September ini.

Pengumuman itu sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pemerintah Israel pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu ketika krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.

Pengumuman itu dibuat menyusuli kenyataan Perancis minggu lalu yang turut menyatakan hasrat untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, manakala Britain pula menyatakan akan berbuat demikian sekiranya konflik di Gaza, wilayah Palestin yang diduduki Israel tidak dihentikan menjelang persidangan tersebut.

Encik Carney berkata langkah itu bergantung kepada komitmen pihak berkuasa Palestin untuk melaksanakan reformasi, termasuk penambahbaikan tadbir urus serta penganjuran pilihan raya umum pada 2026, yang Hamas tidak akan dibenarkan untuk mengambil bahagian.

Langkah yang diambil oleh sekutu rapat Israel itu mencerminkan kemarahan masyarakat antarabangsa terhadap keadaan kemanusiaan yang semakin membimbangkan di Gaza dan pada masa yang sama, pemantau kelaparan global memberi amaran bahawa senario kebuluran paling buruk sedang berlaku di wilayah tersebut.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan tujuh lagi kematian berkaitan kelaparan pada Rabu (30 Jul) termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.

Pejabat Media Pemerintah Gaza yang dikendalikan Hamas pula memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dalam tempoh tiga jam pada hari yang sama, ketika mereka cuba mendapatkan bantuan makanan daripada trak bantuan PBB yang memasuki utara Gaza.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita