Kanada akan derma hingga 200,000 dos vaksin Imvamune bagi rawat jangkitan mpox
Anggaran Waktu Membaca:

Vaksin cacar monyet JYNNEOS. (Gambar fail: Patrick T. Fallon/AFP)
TORONTO: Kanada mendermakan "sehingga 200,000" dos vaksin mpox, dedah jurucakap pemerintah pada Rabu (11 Sep).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan global pada bulan lalu, iaitu buat kali kedua dalam tempoh dua tahun.
Jumlah dos vaksin Imvamune yang akan didermakan oleh Kanada akan bergantung pada kapasiti penyimpanan dan pentadbiran negara penerima, menurut jurucakap Menteri Pembangunan Antarabangsa Kanada kepada Reuters.
Derma sedemikian bertujuan untuk menangani ketidakadilan yang menyebabkan negara-negara Afrika tidak mempunyai akses kepada vaksin yang digunakan semasa wabak global pada 2022.
Mpox boleh merebak melalui kontak rapat.
Biasanya ringan, ia boleh membawa maut bagi sesetengah kes yang jarang berlaku.
Ia menyebabkan simptom seperti selesema dan kulit penuh nanah pada badan.
Wabak di Congo bermula dengan penyebaran varian endemik, yang dikenali sebagai klad I. Tetapi varian baharu, klad Ib, kelihatan lebih mudah merebak melalui kontak rapat termasuk hubungan seksual.
Ia sudah merebak dari Congo ke negara-negara jiran termasuk Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda, mencetuskan tindakan daripada WHO.
Kanada tidak akan memberitahu kepada siapa ia akan membekalkan vaksin itu atau jangka masa penghantarannya.
"Kanada bekerjasama rapat dengan pakar kesihatan global, termasuk GAVI (perikatan vaksin antarabangsa) dan WHO, untuk mengakses skop wabak dan mengenal pasti cara terbaik untuk menghantar vaksin secepat mungkin kepada mereka yang paling memerlukannya," menurut jurucakap tersebut dalam kiriman emel. "Kami akan memberikan butiran lanjut sebaik sahaja garis masa penghantaran dimuktamadkan."
Health Canada sebelum ini enggan menyatakan berapa banyak dos vaksin mpox yang ada di negara itu "atas sebab keselamatan negara," dengan hanya menyatakan, "Kanada telah memperoleh bekalan vaksin mpox yang mencukupi untuk menyokong program vaksinasi dan pencegahan serta kawalan mpox di Kanada. ”
Berdasarkan pengumuman tahun sebelumnya daripada pengeluar Bavarian Nordic, penasihat dasar perubatan dan advokasi untuk Médecins Sans Frontières Canada, Adam Houston, menganggarkan negara itu memiliki lebih 2 juta dos vaksin mpox.
"Kami ingin melihat Kanada terlebih dahulu lebih telus mengenai bekalannya sendiri dan keperluannya sendiri," kata Encik Houston sebelum berita mengenai derma itu didedahkan kepada umum. "Dan kemudian kami ingin melihat ketelusan rancangannya untuk apa yang akan berlaku berkaitan vaksin ini. Kami fikir keutamaan sekarang ialah vaksin harus dikongsi."
Sumber : Reuters/AE/ae
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.