Skip to main content

Dunia

Kampung haji jemaah Indonesia terletak 400 meter dari Masjidil Haram

Menteri Pelaburan serta Ketua Badan Koordinasi Pelaburan Indonesia (BKPM), Rosan Roeslani, berkata sebuah kampung haji yang dikhususkan untuk menampung jemaah haji dari Indonesia terletak sejauh 400 meter dari Masjidil Haram, di Kota Makkah, Arab Saudi.

Anggaran Waktu Membaca:
Kampung haji jemaah Indonesia terletak 400 meter dari Masjidil Haram

Umat Islam melawat Masjidil Haram menjelang akhir musim haji 1446 Hijrah pada 8 Jun 2025. (Gambar: AFP)

JAKARTA: Menteri Pelaburan serta Ketua Badan Koordinasi Pelaburan Indonesia (BKPM), Rosan Roeslani, berkata sebuah kampung haji yang dikhususkan untuk menampung jemaah haji dari Indonesia terletak sejauh 400 meter dari Masjidil Haram, di Kota Makkah, Arab Saudi.

Perkara itu dinyatakan oleh Encik Rosan yang mengiringi Presiden Prabowo Subianto dalam pertemuannya dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman Al Saud, di Istana Al-Salam, Jeddah, Arab Saudi, minggu lalu, sempena rangka lawatan negara Presiden sebelum berangkat ke Brazil.

“Beliau (Putera Mohammed bin Salman) bersetuju dengan permintaan Presiden untuk menjadikan kampung Indonesia Village di lokasi yang tidak terlalu jauh, iaitu 400 meter dari Masjidil Haram,” kata Encik Rosan dalam satu sidang media di Brussels, Belgium, pada Ahad (13 Jul).

Lokasi kampung haji Indonesia atau Indonesia Village di Makkah itu diharap dapat memudahkan akses jemaah haji yang ingin menuju ke Kaabah yang terletak di dalam Masjidil Haram.

Selain perbincangan mengenai kampung haji Indonesia, Encik Rosan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Danantara Indonesia, turut menandatangani perjanjian kerjasama dengan ACWA Power, sebuah syarikat tenaga boleh diperbaharui yang dimiliki dana kekayaan negara Arab Saudi, iaitu PIF.

“Saya, kebetulan, menandatangani (perjanjian) antara Danantara dan ACWA, yang merupakan syarikat di bawah PIF, dana kekayaan negara mereka, yang beroperasi dalam bidang tenaga bersih,” kata beliau.

Dalam kenyataan bersama antara Presiden Prabowo dan Putera Mohammed bin Salman, kedua-dua pemimpin bersepakat untuk mempertingkat kerjasama dalam menyediakan perkhidmatan terbaik bagi jemaah haji Indonesia.

Selain isu haji, Presiden Prabowo dan Putera MBS turut membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, dan tenaga.

Kedua-dua negara juga bersetuju untuk saling menyokong pencapaian matlamat masing-masing bagi merealisasikan Wawasan Arab Saudi 2030 dan Visi Indonesia Emas 2045.

Presiden Prabowo dan Putera Mohammed bin Salman turut mencapai persetujuan untuk mempertingkat kerjasama dalam 10 bidang, termasuk ekonomi digital dan inovasi; sistem perundangan dan penguatkuasaan undang-undang; tenaga kerja dan sumber daya manusia; kebudayaan; pelancongan; sukan dan belia; pendidikan dan penyelidikan; industri dan perlombongan; pertanian, perikanan, dan ketahanan makanan; serta keterhubungan udara antara kedua-dua negara.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita