Skip to main content

Dunia

Kampung Budaya Terengganu pelbagaikan programnya bagi pikat lebih ramai pengunjung

Kampung Budaya Terengganu mampu beroperasi dengan lebih baik dan berpeluang mempelbagaikan aktiviti kesenian.

Anggaran Waktu Membaca:
Kampung Budaya Terengganu pelbagaikan programnya bagi pikat lebih ramai pengunjung

Gambar fail Kampung Budaya Terengganu. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Nov 2020 11:41AM Dikemas Kini : 12 Nov 2020 11:45AM

KUALA TERENGGANU: Kampung Budaya Terengganu mampu beroperasi dengan lebih baik dan berpeluang mempelbagaikan aktiviti kesenian selepas menerima peruntukan untuk memperbaiki infrastruktur dan mempergiat promosi dalam Belanjawan 2021 Malaysia.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata menerusi peruntukan tersebut, pihaknya akan berusaha memperkasakan aspek 3P iaitu penyampaian, pengurusan dan prasarana agar Kampung Budaya Terengganu, menjadi destinasi tarikan baru di negeri tersebut.

"Berikutan itu, kita akan memperkemaskan lagi strategi penganjuran aktiviti dan promosi agar Kampung Budaya Terengganu ini menjadi 'destinasi wajib' pelancong yang datang ke negeri ini," katanya kepada Bernama.

Menurutnya lagi, meskipun baru beroperasi selama sebulan (3 Sep hingga 4 Okt) lokasi pelancongan itu menerima kunjungan sehingga 24,853 pelancong dan adalah tidak mustahil dengan adanya pelbagai program, ia mampu menarik lebih ramai pengunjung.

Kampung Budaya Terengganu yang terletak di Muzium Terengganu dekat Losong mula dibuka pada 3 September lalu dengan berkonsepkan muzium hidup yang menonjolkan aspek kesenian, budaya dan warisan tradisional yang terdapat kesemua lapan daerah di Terengganu.

Pelancong akan disajikan dengan pelbagai sejarah warisan di tujuh hentian termasuk lima rumah tradisional Melayu Terengganu iaitu Istana Tengku Long, Rumah Tele, Rumah Limas Belanda, Rumah Bujang Berkembar dan Rumah Bujang berserambi Selasar.

"Melalui maklum balas pelancong, mereka sangat mengagumi corak hidup masyarakat tradisional di Terengganu zaman dahulu yang dipamerkan termasuk makanan, peralatan, warisan seni dan kebudayaan penduduk yang terkenal sebagai masyarakat maritim,” katanya.

Melalui Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta ($6.5 juta) bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi konsep Kampung Budaya di Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, Mohd Huzairil berkata bagi memantapkan prasarana, pihaknya akan menyediakan lebih banyak kemudahan infrastruktur yang mesra pelancong termasuk Orang Kurang Upaya ke Kampung Budaya Terengganu,.

"Ini termasuk membina tandas dan beberapa kemudahan lain agar pelancong dan OKU berasa selesa,” katanya sambil menambah bahawa dari segi pengurusan pula, jabatan itu akan mengenal pasti pihak yang pakar dalam menguruskan perkampungan budaya ini agar ia sentiasa menjadi daya tarikan pelancong.

Sumber : Bernama/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita