'Kami terhidu bau getah terbakar': Warga SG kongsi pengalaman di lapangan terbang Tokyo berikutan nahas Japan Airlines
Kesesakan di terminal 2 di Lapangan Antarabangsa Tokyo di Haneda pada 3 Jan 2024 berikutan nahas Japan Airlines. (Gambar: STR / JIJI Press / AFP)
Sejurus tiba di Terminal 2, di mana penerbangan mereka dijadual berlepas, keluarga tersebut diarahkan untuk menuju ke Terminal 3.
Tidak lama kemudian, mereka mendapati terdapat bau yang aneh.
"Di T2, kami terhidu bau getah yang terbakar itu. Dan juga ketika kami berada di monorel (untuk pergi ke T3)," kata Cik Bay, yang enggan memberikan nama penuhnya.
Bau itu adalah disebabkan api yang marak di landasan, selepas jet penumpang Japan Airlines (JAL) dan pesawat Pengawal Pantai Jepun terlibat dalam satu kemalangan.
Semua 379 penumpang pesawat A350 JAL berjaya menyelamatkan diri selang beberapa minit sebelum pesawat itu terbakar sepenuhnya. Bagaimanapun, semua anak kapal pesawat Pengawal Pantai yang lebih kecil itu terbunuh kecuali seorang.
Ia mengambil masa lebih enam jam untuk api tersebut dipadamkan, meninggalkan kesan pesawat yang hangus di landasan lapangan terbang itu.
BACA:
"Apabila saya melihat (skala kejadian) di Instagram, saya agak bimbang bahawa kami berada di tengah-tengah zon bencana," kata Cik Bay.
Mereka berkongsi demikian kepada Mediacorp selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Changi pada Rabu pagi, kira-kira satu setengah jam selepas waktu ketibaan yang dijadualkan.
Seorang lagi penumpang dalam penerbangan yang sama, Encik Brandon Lim, yang sedang dalam perjalanan pulang ke Singapura daripada bercuti di Jepun, pula sempat menyaksikan kejadian kebakaran berkenaan dari dalam Terminal 3.
Dia menggunakan kamera telefon bimbitnya untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kejadian tersebut.
"Kita dapat lihat jentera bomba cuba memadamkan api dari jauh. Kami perlu "zoom" melihat kawasan kejadian (dengan lebih dekat daripada telefon bimbit) tetapi asap sangat kelihatan. Namun orang di dalam terminal tidak benar-benar terjejas oleh (asap). Ia cukup selamat di dalam terminal," katanya.
Beliau segera memaklumkan para anggota keluarganya di tanah air mengenai kejadian itu dan memberitahu mereka dia berada dalam keadaan selamat - meskipun penerbangannya tergendala - di lapangan terbang tersebut.
KELENGAHAN BERIKUTAN INSIDEN
Berikutan insiden pertembungan tersebut, semua landasan ditutup di lapangan terbang berkenaan, menangguhkan penerbangan dan menyebabkan ribuan pelancong terkandas.
Para penumpang di lapangan terbang itu kelihatan tenang, tetapi suasananya begitu suram, kata Cik Bay.
"Terdapat kebimbangan memandangkan kami tidak tahu sama ada kelewatan itu adalah selama beberapa hari atau jam panjangnya," kata seorang penumpang.
Cik Bay berkata: "Kemudian, apabila (mereka dibenarkan untuk) menaiki pesawat, terdapat banyak barisan beratur untuk mendaftar masuk dan bagi menjalani pemeriksaan keselamatan bagasi tangan secara beramai-ramai. Kami terpaksa kekal bersama dan cuba menjelaskan dalam bahasa Inggeris kepada kakitangan lapangan terbang yang kelihatan sangat tertekan."
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.