Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Kami sangat bersyukur dan berharap pendapatan kami akan pulih" - pemandu teksi Johor Bahru-Singapura, ekoran sempadan dibuka mulai 1 April

Anggaran Waktu Membaca:
"Kami sangat bersyukur dan berharap pendapatan kami akan pulih" - pemandu teksi Johor Bahru-Singapura, ekoran sempadan dibuka mulai 1 April

Teksi Johor Bahru - Singapura di Larkin. Gambar: Agensi Berita.

JOHOR BAHRU: Lebih 200 pemandu teksi Johor Bahru-Singapura berpusat di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral di Johor Bahru bersyukur selepas sempadan antara kedua-dua negara akhirnya akan dibuka mulai 1 April ini.

Mereka adalah antara golongan paling terjejas apabila hilang pendapatan, susulan penutupan sempadan sejak 18 Mac 2020.

Tinjauan BH Online di terminal itu mendapati, golongan pemandu teksi berkenaan sibuk membuat persiapan termasuk memastikan teksi mereka dalam keadaan terbaik selain melakukan pembersihan dan sanitasi.

Namun mereka berharap kerajaan Malaysia dan Singapura membantu menyegerakan proses permohonan permit.

Setiausaha Persatuan Teksi Cab Johor Bahru-Singapura, Mohd Drus Cheng, 63 tahun, berkata pemandu teksi JB-Singapura sangat bersyukur dengan pengumuman pembukaan sempadan itu.

Kata beliau, selepas penutupan sempadan, lebih separuh pemandu teksi JB-Singapura terpaksa memulangkan teksi sama ada kepada persatuan atau koperasi, dan mencari pekerjaan lain termasuk sebagai pengawal keselamatan, seperti dinukil BH Online.

"Saya sendiri pulang ke kampung dan bekerja kampung sejak sempadan ditutup. Namun pengumuman pembukaan sempadan semalam memberi sinar baru kepada golongan kami.

"Bagaimanapun, saya mewakili persatuan berharap agensi termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyegerakan proses permohonan permit rentas sempadan.

"Persatuan kini dalam proses membantu ahli mengisi dokumen termasuk untuk permohonan permit daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura sebelum dikumpul dan dihantar ke republik itu.

"Ini bermakna pada 1 April ini, pemandu teksi JB-Singapura masih belum boleh membawa dan menghantar penumpang ke Singapura melainkan sudah mendapat permit dari Malaysia dan Singapura yang dijangka mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan," kata beliau ketika ditemui di terminal berkenaan, hari ini (25 Mac).

Semalam, Malaysia dan Singapura dilaporkan mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April ini dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.

Selari dengan pengumuman itu, pelawat dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan COVID-19, termasuk ujian sebelum pelepasan dan semasa ketibaan lapor BH Online.

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan media bersama Perdana Menteri, Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, semalam.

Dalam pada itu, pemandu teksi JB-Singapura, Azali Ahmad, 58 tahun, turut berharap proses permohonan permit rentas sempadan kedua negara dipermudah dan disegerakan berikutan golongan itu sudah lebih dua tahun menderita.

"Saya sendiri terpaksa berniaga makanan secara kecil kecilan selain membawa teksi dan mengambil penumpang di sekitar bandaraya bagi meneruskan kehidupan.

"Namun, pendapatan sebagai pemandu teksi bandaraya tidak memadai kerana penumpang yang tidak ramai dan lebih memilih menaiki perkhidmatan e-hailing. Bila pengumuman pembukaan sempadan dibuat semalam, kami sangat bersyukur dan berharap pendapatan kami akan pulih," kata beliau.

Bagi seorang lagi pemandu teksi JB-Singapura, Hafiz Kasah, 48 tahun, berkata beliau mengharapkan SOP yang akan diumumkan tidak terlalu ketat sehingga menjejaskan pendapatan golongan itu lagi nanti, lapor BH Online.

"Saya rasa penumpang tidak akan seramai dahulu kerana ramai yang akan mengambil sikap berjaga-jaga dan akan menggunakan perkhidmatan bas.

"Namun, saya serta rakan pemandu teksi akan memberi perkhidmatan terbaik dengan lebih kerap membersihkan dan melakukan sanitasi kepada teksi bagi menyakinkan pengguna," kata beliau.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan