Skip to main content

Dunia

Kalimantan Tengah anjur peraduan bercerita untuk hidupkan semula bahasa daerah dalam kalangan anak muda

Anggaran Waktu Membaca:

PALANGKA RAYA: Pemerintah Provinsi Kalimantan Tengah menganjurkan peraduan bercerita Bakesah pada Jumaat (17 Mac) untuk menyokong usaha pemeliharaan dan penyegaran bahasa-bahasa daerah.

“Usaha kami dalam peraduan ini adalah untuk menghidupkan semula bahasa-bahasa daerah kerana kita harus mengakui bahawa generasi muda sudah mula melupakan bahasa-bahasa daerah,” kata Ketua Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Provinsi Kalimantan Tengah, Adiah Chandra, seperti disampaikan oleh Pegawai Kebudayaan Gauri Vidya Dhaneswara pada Sabtu (18 Mac).

Encik Dhaneswara berkata, Peraduan Bakesah adalah sebahagian Pesta Rakyat: Festival Tambun Bangai 2023.

Ketua Dinas itu percaya, menerusi acara kebudayaan dan pelancongan sebegitu, pemerintah wilayah berusaha untuk menyuntik nafas baru kepada masyarakat dan keinginan anak muda untuk mempelajari dan mempertingkatkan kecelikan huruf mereka berhubung bahasa-bahasa serantau.

“Ia secara tidak langsung memperkasakan kemahiran bahasa daerah mereka serta sebahagian usaha kami untuk memelihara dan memperkenalkan semula bahasa pertama kami,” jelas Encik Dhaneswara.

Peraduan Bakesah merupakan pertandingan bercerita berdasarkan tema kewiraan dan kebijaksanaan setempat di Kalimantan Tengah, seperti legenda dan cerita rakyat yang diketahui ramai.

Setiap peserta diberikan maksimum 10 minit untuk bercerita dan mereka dibenarkan membawa atau melengkapkan diri mereka dengan perkakas atau peralatan atau memakai pakaian tradisional yang membantu persembahan mereka.

Sewaktu bercerita, para peserta dibenarkan menyampaikannya dalam bahasa Indonesia dan bahasa daerah masing-masing yang sehaluan dengan tema atau asal usul cerita tersebut.

Peraduan itu disertai 18 individu yang berusia antara 15 hingga 40 tahun, dengan antara pengadilnya adalah penggiat kebudayaan Guntur Talajan dan lain-lain lagi.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita