Kalau saya presiden UMNO, saya tak 'merangkak' jumpa Dr Mahathir - Ku Li
“Kalau saya pemangku Presiden UMNO, mengapa saya harus merangkak berjumpa dengan orang yang telah meninggalkan parti ini?”
Encik Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini. (Gambar: Ahmad Zahid Hamidi/Twitter)
KUALA LUMPUR : “Kalau saya pemangku Presiden UMNO, mengapa saya harus merangkak berjumpa dengan orang yang telah meninggalkan parti ini?”
Itu jawapan pendek tetapi pedas Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah ketika diminta pandangan mengenai pertemuan Encik Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, lapor Astro AWANI.
Veteran UMNO berkenaan, lebih mesra dikenali sebagai Ku Li, berkata, semua pihak harus ingat bahawa Dr Mahathir sendiri yang meninggalkan parti itu, malah menyebabkan kekalahan parti tersebut dari terus memegang tampuk pemerintahan negara.
“(Difahamkan) perjumpaan itu permintaan dari Datuk Zahid sendiri, saya tidak hendak komen apa-apa lagi. Orang tanya mengapa Zahid jumpa Dr M dan minta nasihat daripada dia, macam mana hendak uruskan UMNO, itu dia punya hak.
“Tetapi sekiranya saya pemangku presiden, kenapa saya harus berjumpa dengan Tun M? Saya mengetuai parti yang berlainan dan dia (Tun M) tidak memihak kepada kita, dia sudah meninggalkan parti kita, parti yang dia sendiri tubuhkan dengan Anwar Ibrahim. Jadi, mengapa mesti 'merangkak' berjumpa dia?” soalnya kembali.
Ku Li berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan di satu sidang media semalam (10 Jun) yang diadakan di kediaman beliau di Langgak Golf.
Pada 7 Jun lalu, Encik Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya dan ia merupakan pertemuan pertama antara pemimpin tertinggi UMNO itu dengan Perdana Menteri Malaysia sejak kerajaan Barisan Nasional tewas di Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
Astro AWANI melaporkan bahawa Dr Mahathir, dalam satu temu bual bersama sebuah akhbar, mendedahkan pertemuan itu bukan saja merupakan perjumpaan biasa, tetapi Encik Ahmad Zahid dikatakan datang untuk mendapatkan pandangan Perdana Menteri tersebut mengenai UMNO.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.