Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kakitangan makmal Wuhan dapatkan rawatan hospital sebelum pendedahan COVID-19: Laporan

Kakitangan makmal Wuhan dapatkan rawatan hospital sebelum pendedahan COVID-19: Laporan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kakitangan makmal Wuhan dapatkan rawatan hospital sebelum pendedahan COVID-19: Laporan

Institut Virologi Wuhan, China. (Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 24 May 2021 10:57AM Dikemas Kini : 24 May 2021 11:00AM

WASHINGTON: Tiga pengkaji daripada Institut Virologi Wuhan (WIV) China mendapatkan rawatan di hospital dalam bulan November 2019, beberapa bulan sebelum China mendedahkan tentang pandemik COVID-19.

Demikian menurut laporan Wall Street Journal pada Ahad (23 Mei), menukil satu laporan yang sebelum ini didedahkan oleh jabatan risikan Amerika Syarikat.

Menurut laporan akhbar itu - yang menyediakan perincian baru tentang jumlah pengkaji yang terjejas, tempoh mereka dijangkiti dan kunjungan ke hospital - mungkin membawa kepada lebih banyak gesaan bagi siasatan meluas sama ada virus COVID-19 mungkin terlepas daripada makmal.

Laporan itu dibuat sehari sebelum satu mesyuarat badan pembuat keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang dijangka membincangkan fasa seterusnya dalam siasatan ke atas asal-usul COVID-19.

Seorang jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan bagaimanapun tiada mengenai laporan Wall Street Journal itu tetapi berkata pentadbiran Encik Biden terus menyuarakan "soalan-soalan serius tentang tempoh awal pandemik COVID-19, termasuk asal-usulnya dalam kalangan Republik Rakyat China".

Beliau berkata pemerintah Amerika Syarikat sedang bekerjasama dengan WHO dan negara-negara anggota lain untuk menyokong penilaian diterajui pakar tentang asal usul pandemik itu, "yang bebas daripada campur tangan atau dipolitikkan".

"Kami tidak akan membuat kenyataan yang mengadili kajian WHO yang masih dijalankan ke atas sumber SARS-CoV-2, namun kami sudah jelaskan bahawa teori-teori yang munasabah dan boleh dipercayai secara teknikal seharusnya dinilai secara menyeluruh oleh para pakar antarabangsa," kata beliau.

Menurut Wall Street Journal para pegawai sedia ada dan sebelum ini yang mengikuti perkembangan risikan tentang para pengkaji makmal itu menyuarakan pelbagai pandangan tentang kekuatan bukti-bukti yang menyokong laporan tersebut, dengan sorang individu yang tidak didedahkan namanya menyatakan ia "memerlukan siasatan lanjut dan pengukuhan tambahan".

Amerika Syarikat, Norway, Kanada, Britain dan negara-negara lain dalam bulan Mac menyuarakan kebimbangan tentang kajian yang dipimpin WHO ke atas asal-usul COVID-19 dan menggesa siasatan lanjut dijalankan serta akses penuh diberikan kepada semua data manusia, haiwan dan lain-lain yang penting berkaitan peringkat awal penularan.

Washington bertekad memastikan lebih banyak kerjasama dan ketelusan dari pihak China, menurut satu sumber rapat dengan usaha itu.

Kedutaan China di Washington pula tidak segera memberikan sebarang respons kepada permintaan ulasan pada Ahad.

Pada Ahad, Kementerian Ehwal Luar China mengambil perhatian bahawa sebuah pasukan yang dipimpin WHO sudah memutuskan bahawa kebocoran makmal sangat tidak mungkin berlaku selepas satu lawatan dalam bulan Februari ke institut virologi tersebut.

"Amerika terus menghebahkan teori kebocoran makmal," menurut kementerian itu sebagai menjawab permintaan komen oleh The Wall Street Journal.

"Adakah ia betul-betul ingin mengesan punca (penularan) atau cuba mengalihkan perhatian?"

Pentadbiran Encik Donald Trump menyatakan ia mengesyaki virus itu mungkin terlepas daripada makmal di China, yang disangkal oleh Beijing.

Satu dokumen Jabatan Negara Amerika yag dikeluarkan pada hujung penggal pentadbiran Encik Trump menyatakan "pemerintah Amerika ada sebab untuk mempercayai bahawa beberapa pengkaji di WIV jatuh sakit pada musim luruh 2019, sebelum kes pertama penularan dikenal pasti, dengan simptom-simptomnya konsisten dengan simptom COVID-19 dan juga penyakit musiman".

Dokumen itu bagaimanapun tidak menyatakan jumlah pengkaji yang jatuh sakit.

China pula enggan memberikan data mentah tentang kes-kes awal COVID-19 kepada pasukan yang dipimpin WHO itu, menurut salah seorang penyiasat pasukan itu yang dilaporkan oleh Reuters dalam bulan Februari lalu.

Ini sekali gus menyukarkan usaha-usaha untuk memahami bagaimana penularan COVID-19 tercetus.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan