Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kakitangan AS di kedutaan Kabul diarah pulang

Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Selasa (27 April) mengarahkan sebilangan besar kakitangannya yang masih berada di Kedutaan Amerika Syarikat di Kabul untuk meninggalkan Afghanistan sedang tenteranya mempercepat pengunduran dari negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kakitangan AS di kedutaan Kabul diarah pulang

Gambar fail seorang askar AS di Afghanistan pada 5 Ogos 2018 (Gambar: REUTERS/Omar Sobhani)

Diterbitkan : 28 Apr 2021 01:51PM Dikemas Kini : 28 Apr 2021 01:54PM

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Selasa (27 April) mengarahkan sebilangan besar kakitangannya yang masih berada di Kedutaan Amerika Syarikat di Kabul untuk meninggalkan Afghanistan sedang tenteranya mempercepat pengunduran dari negara itu.

Arahan dikeluarkan sedang utusan khas Amerika Syarikat ke Afghanistan memberitahu para penggubal undang-undang bahawa tidak masuk akal untuk meneruskan pengerahan tentera Amerika selama 20 tahun di sana. Pada masa yang sama, Duta Besar Zalmay Khalilzad berkata berliau berkongsi keprihatinan para penggubal dasar bahawa hak wanita dan minoriti boleh terjejas selepas pengunduran itu selesai.

"Kita semua harus kekal prihatin bahawa hak-hak itu mungkin terjejas," kata Encik Khalilzad kepada Jawatankuasa Hubungan Luar Negeri Senat. Ketika ditanya sama ada Amerika Syarikat akan mempunyai pengaruh untuk melindungi hak-hak itu setelah tenteranya berundur, Encik Khalilzad melahirkan keraguan. Beliau berkata bantuan dan jenis-jenis sokongan diplomatik lain "tidak akan tersedia sekiranya mereka tidak menghormati hak asasi wanita Afghanistan atau orang lain".

Dalam nasihat perjalanan terkini untuk Afghanistan, jabatan itu menyatakan pihaknya telah mengarahkan semua kakitangan pemerintah Amerika Syarikat "yang fungsinya boleh dilakukan di tempat lain" untuk pulang. Ia juga menyatakan bahawa warga Amerika tidak boleh melakukan perjalanan ke Afghanistan dan mereka di sana yang mahu pulang "harus meninggalkan tempat itu secepat mungkin dengan menaiki penerbangan komersial yang tersedia."

Kedutaan di Kabul sangat bergantung kepada tentera Amerika Syarikat untuk keselamatan, dan keberangkatan kakitangannya sudah dilakukan sejak pentadbiran Encik Donald Trump mengumumkan tahun lalu bahawa tentera Amerika akan ditarik balik dari Afghanistan menjelang 1 Mei.

Pentadbiran Encik Biden melanjutkan tarikh akhir sehingga 11 Sep, genap 20 tahun selepas serangan pengganas 2001, tetapi telah mempercepat pengunduran.

Sumber : AP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan