Skip to main content

Dunia

Kaki bayi menggelembung, bengkak selepas pembedahan

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sudah memberi rawatan sewajarnya kepada seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang kaki kirinya menggelembung dan membengkak selepas pembedahan di sebuah hospital, yang didakwa disebabkan oleh kecuaian pihak hospital.

Anggaran Waktu Membaca:
Kaki bayi menggelembung, bengkak selepas pembedahan

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 14 Nov 2018 03:01PM Dikemas Kini : 14 Nov 2018 03:08PM

GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sudah memberi rawatan sewajarnya kepada seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang kaki kirinya menggelembung dan membengkak selepas pembedahan di sebuah hospital, yang didakwa disebabkan oleh kecuaian pihak hospital.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah, berkata JKNPP juga sudah bertemu keluarga bayi lelaki itu untuk memberi penjelasan berhubung keadaannya.

"JKNPP ingin merujuk kepada kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Abdul Ghani mengenai kecuaian pihak hospital memberi rawatan kepada cucu beliau dan pihak hospital telah mengambil maklum mengenai isu tersebut.

"Kami juga memahami situasi yang dihadapi oleh keluarga pesakit dan telah mengadakan pertemuan hari ini bagi memberi penjelasan kepada mereka," katanya kepada agensi berita Bernama pada Selasa (13 Nov).

Menulis di laman Facebooknya, Encik Abdul Ghani iaitu datuk kepada bayi berkenaan berkata kecuaian berlaku semasa pihak hospital merawat cucu sulungnya ketika proses tambah darah melalui kaki kirinya.

Beliau turut memuat naik beberapa gambar kaki kiri cucunya itu, yang menggelembung dan bengkak teruk sedang dirawat di hospital tersebut.

Pengguna Facebook Zamzura Ruslan, yang mendakwa dirinya sebagai ibu bayi berkenaan berkata pihak hospital memasukkan darah melalui kaki bayinya selepas pembedahan hernia. Ini menyusuli tekanan darah rendah dan doktor memaklumkan tersilap memasukkan 'line' sehingga kaki kiri anaknya menjadi bengkak.

Dr Wan Mansor berkata keadaan bayi lelaki itu kini stabil dan sedang dipantau dari semasa ke semasa.

Beliau berharap orang ramai tidak menularkan maklumat yang tidak tepat berkenaan rawatan pesakit kerana pihaknya serta semua kakitangan hospital amat komited dalam memberikan khidmat jagaan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat.

"Pihak waris juga boleh berhubung terus dengan pihak jabatan yang merawat pesakit atau pihak pengurusan hospital sekiranya terdapat kemusykilan," katanya.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita