Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Kak Chah' tawar nasi lemak percuma kepada siswa Johor Bahru

Mahu dikenali sebagai Kak Chah, yang baru sebulan berniaga di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mengalu-alukan para pelajar di universiti itu untuk datang mengambil makanan secara percuma di gerainya.

Anggaran Waktu Membaca:
'Kak Chah' tawar nasi lemak percuma kepada siswa Johor Bahru

Pemilik Gerai Nasi Lemak Kak Chah, Siti Aishah Othman, mendapat perhatian orang ramai selepas tular di media sosial kerana memberikan Nasi Lemak secara percuma kepada pelajar-pelajar. (Gambar: BERNAMA)

JOHOR BAHRU: Pengalaman menjalani hidup susah dan dibebani masalah kewangan sehingga tidak dapat meneruskan pelajaran, mendorong seorang peniaga gerai nasi lemak, Siti Aishah Othman untuk menawarkan makanan secara percuma kepada para pelajar.

Mahu dikenali sebagai Kak Chah, 32 tahun, yang baru sebulan berniaga di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mengalu-alukan para pelajar di universiti itu untuk datang mengambil makanan secara percuma di gerainya.

Inisiatif sejak dua hari lalu (30 Mei) itu tular di media sosial, menyebabkan ramai pelajar beratur seawal pukul 7.00 pagi untuk mengambil nasi lemak biasa yang lengkap dengan ikan bilis, timun, kacang dan telur secara percuma.

kak chah
(Gambar: BERNAMA)

“Masa saya mula berniaga di sini ada budak-budak (pelajar) tiap hari datang beli nasi lemak biasa yang saya jual RM1 (S$0.30) sebungkus.

“Saya faham mereka perlu berjimat, tetapi takkan nak makan nasi lemak biasa sahaja setiap hari, dan ada yang bayar guna duit syiling. Dari situ saya nampak kesusahan mereka, jadi saya sedekah sahaja,” katanya ketika ditemui di UTM.

Dua hari lalu, nota Siti Aishah yang berbunyi ‘Adik-adik pelajar kalau langsung tidak ada duit jangan tahan lapar datang sini beritahu, saya belanja, saya pun pernah jadi pelajar jangan malu’, tular di media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi dan pujian netizen.

kak chah
(Gambar: BERNAMA)

Ibu kepada seorang cahaya mata itu yang hanya sempat belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam selama setahun pada 2010 kerana mengalami masalah kewangan berkata, sejak semalam gerainya dikunjungi ramai pelajar sehingga terpaksa ditutup seawal pukul 11.00 pagi.

“Semalam ada individu belanja nasi lemak RM1 untuk 200 pelajar, jadi saya tolong buatkan dan semua habis diagihkan.

“Ada juga pelajar yang datang tapi malu-malu hendak ambil, saya faham kita orang susah memang pemalu tetapi saya ikhlas memberi,” kata anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu yang sudah kematian ibu bapa.

Wanita berasal dari Kedah itu berkata selain memberi nasi lemak percuma kepada pelajar, dia juga berniaga seperti biasa dengan menjual nasi lemak berlauk bagi menampung perbelanjaannya.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan