Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kajian baru dapati vaksin COVID-19 boleh ubah sementara kitaran haid

Anggaran Waktu Membaca:
AMERIKA SYARIKAT: Sesetengah orang mengalami sakit kepala atau sakit lengan selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 dan ada juga mungkin mengalami loya atau bengkak nodus limfa.

Bagaimanapun, satu penyelidikan terbaru menunjukkan ia juga berpotensi mengakibatkan satu lagi kesan sampingan - perubahan pada kitaran haid wanita.

Dalam satu kajian diterbitkan pada Selasa, dalam jurnal perubatan Britain, The BMJ para penyelidik melaporkan secara purata wanita yang diberi vaksin mengalami kelewatan haid bagi tempoh satu hari, berbanding mereka yang tidak mendapatkan vaksin.

Bagaimanapun, seperti kesan sampingan yang lain perubahan itu hanya bersifat sementara dan selepas satu kitaran ia kembali normal.

Penyelidikan itu turut memperluaskan penemuan awal pasukan serta laporan anekdot daripada wanita yang mengalami kitaran haid tidak menentu. Ia termasuk data daripada hampir 20,000 orang di merata dunia dengan 14,936 daripadanya mengambil vaksin, manakala 4,686 lagi tidak menerima vaksin.

"Haid kurang dipelajari dan perkara itu membimbangkan memandangkan ia adalah penunjuk utama kesuburan dan kesihatan keseluruhan.

"Kami berharap penemuan ini mengesahkan lagi apa yang dialami oleh begitu ramai individu dan membolehkan karyawan khidmat penjagaan kesihatan menyediakan pesakit dengan penjagaan yang lebih baik serta cadangan klinikal," kata Dr Alison Edelman, seorang profesor obstetrik dan sakit puan di Sekolah Perubatan Universiti Kesihatan dan Sains Oregon, yang juga pengarang utama kertas itu.

Adalah perkara biasa untuk mengalami beberapa tahap variasi dalam kitaran haid kerana hormon yang mengawal kitaran bulanan boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk tekanan emosi, penurunan berat atau penambahan berat badan, sekatan kalori dan senaman yang kuat.

Akibatnya, bilangan hari seseorang itu mengalami haid, tempoh kitaran dan berat aliran juga boleh berubah-ubah.

Menurut Persekutuan Ginekologi dan Obstetrik Antarabangsa, perubahan panjang kitaran yang kurang daripada lapan hari adalah dalam julat normal.

Dr Edelman dan pasukannya yang menganalisis data tiga kitaran haid secara berturut-turut sebelum vaksinasi dan sekurang-kurangnya satu kitaran selepas itu daripada peserta yang mengambil bahagian mendapati, kitaran berkenaan meningkat sebanyak 0.71 hari selepas dos pertama mereka dan sebanyak 0.56 hari selepas dos kedua.

Bagi individu yang menerima kedua-dua suntikan dalam kitaran haid yang sama pula mengalami perubahan lebih besar iaitu haid mereka secara purata lewat hampir empat hari dan dalam subkumpulan itu seramai 100 orang menyedari kelewatan selama lapan hari atau lebih.

Sementara itu, ahli endokrinologi reproduktif di Emory University, Dr Jennifer Kawwass, berkata perubahan itu tidak mungkin memberi kesan kepada kesuburan semasa atau masa depan disebabkan kitaran haid kembali ke garis dasar sebulan selepas vaksinasi.

Bagaimanapun, ketika ini masih belum jelas bagaimana vaksin COVID-19 mendorong perubahan berkenaan dan berkemungkinan besar terdapat beberapa perselisihan perbincangan antara sistem imun dan bahagian lain badan yang membantu melindungi daripada patogen luar, termasuk sistem kehamilan.

Kajian itu tidak termasuk data daripada orang yang menggunakan kaedah pencegahan kehamilan atau mereka yang sudah mempunyai kitaran yang tidak teratur sebelum mendapat vaksin.

Mengalami sebarang kesan sampingan selepas mendapat vaksin - sama ada perubahan dalam haid atau sakit kepala atau demam - bukanlah petunjuk tentang keberkesanan vaksin anda.

Sesetengah orang lebih sensitif kepada sistem imun atau perubahan hormon dalam badan, kata Dr Kawwass.
Sumber : Agensi berita/FA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan