Skip to main content

Dunia

Kadet bomba hilang ketika cuba selamatkan rakan hanyut di sungai

Seorang pelajar yang cuba menyelamatkan tiga rakan sekampung yang hanyut di dalam perahu di Sungai Kanowit di Sarawak dikhuatiri lemas apabila beliau hilang dibawa arus deras dalam kejadian pada sebelah tengah hari Ahad (24 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Feb 2019 08:27AM Dikemas Kini : 25 Feb 2019 08:29AM

KANOWIT: Seorang pelajar yang cuba menyelamatkan tiga rakan sekampung yang hanyut di dalam perahu di Sungai Kanowit di Sarawak dikhuatiri lemas apabila beliau hilang dibawa arus deras dalam kejadian pada sebelah tengah hari Ahad (24 Feb).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik, berkata, mangsa yang dikenali sebagai Carlos Paee, 15 tahun, merupakan anggota Kadet Bomba Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanowit.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sebaik pihak bomba menerima aduan mengenai kejadian yang berlaku di Bukung Jagoi pada pukul 1.47 tengah hari, katanya.

Encik Arrahman berkata kejadian itu berlaku apabila mangsa dan rakannya ternampak tiga rakan sekampung berada di dalam perahu menyeberangi sungai untuk memetik buah rambai.

Bagaimanapun, perahu yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras kerana ketiga-tiga mereka tidak pandai mendayung, katanya.

Beliau berkata mangsa dan rakannya, yang dikenali sebagai David Lee Jilan, kemudian terjun ke sungai dan berenang ke arah perahu tersebut untuk membantu dua rakan lelaki dan seorang perempuan yang sebaya mereka sebelum mangsa dihanyutkan arus deras.

“David Lee dapat berenang ke tebing dan Carlos terus tenggelam, manakala tiga rakan mereka yang berada di dalam perahu itu telah diselamatkan oleh orang kampung yang kebetulan balik dari hilir sungai,” jelasnya.

Operasi SAR yang disertai pasukan Bomba dan Penyelamat Kanowit, Polis Kanowit, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dihentikan pada pukul 6.00 petang semalam (24 Feb) dan akan disambungkan pada pagi ini (25 Feb).

Encik Arrahman berkata mangsa sebelum ini mengikuti Pertandingan Perkhemahan Kadet Bomba Peringkat Zon 4 di SMK Sarikei Baru yang berakhir pada Sabtu (23 Feb).  

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita