Kadar penginapan hotel di Makkah cecah 100%, tertinggi sejak pandemik

(Gambar: Shutterstock)
MAKKAH: Sektor hotel Makkah menyaksikan pemulihan yang ketara, dengan kadar penginapan di kawasan-kawasan tengah mencecah 100 peratus sepanjang 10 hari terakhir Ramadan, iaitu paras tertinggi sejak pandemik melanda.
Bassam Khanfar, pengurus salah sebuah hotel di kawasan Aziziyah, berkata jumlah jemaah umrah meningkat tahun ini, dengan kadar penginapan kini kembali ke tahap sebelum pandemik.
Pemulihan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kemudahan yang ditawarkan Arab Saudi kepada para jemaah umrah dari luar negara, lapor Arab News. Para pelabur dan pemilik hotel pantas membuka kemudahan mereka untuk mengambil manfaat daripada keadaan sekarang.
Tambah Encik Khanfar, mengambil kira taburan geografi hotel-hotel di Makkah, ia jelas bahawa rangkaian pengangkutan baru membantu pengusaha hotel di luar kawasan tengah untuk memenuhi permintaan jemaah umrah.
"Salah satu faktor penting bagi jemaah semasa memilih tempat penginapan di luar kawasan tengah adalah harga hotel di kawasan tengah yang amat tinggi."
Pengarah di jabatan komersil Hotel Address Makkah, Hani Najah, berkata jemaah Umrah tertumpu khususnya di kawasan tengah berdekatan Masjidil Haram.
"Projek Bas Makkah membolehkan jemaah untuk memilih hotel yang terletak di kawasan lain di Makkah, dengan bas menghubungkan kawasan-kawasan itu dengan Masjidil Haram. Ini membantu menghidupkan semula kawasan-kawasan tersebut, terutama sekali hotel-hotel bawah empat bintang," katanya.
Harga bilik hotel yang menawarkan pemandangan menarik adalah antara 4,000 riyal Saudi (S$1,418) hingga 10,000 riyal Saudi (S$3,546) untuk semalam di hotel lima bintang.
Purata harga bagi hotel lima dan empat bintang di luar kawasan tengah masing-masing adalah antara 2,500 riyal Saudi (S$886) hingga 3,000 riyal Saudi (S$1,063) dan antara 800 riyal Saudi (S$283) hingga 1,100 riyal Saudi (S$390).
Pakar dalam sektor pelancongan dan perhotelan, Arwa Al-Ahmadi, kepada Arab News: "Kadar penginapan hotel tahun ini sangat tinggi, mencerminkan kekukuhan sektor ini, dengan kadar penginapan di sesetengah hotel mencecah 100 peratus, satu peratusan yang dihambat oleh keadaan sejagat disebabkan penularan COVID-19 pada tahun-tahun sesudahnya.
"Permintaannya tinggi, seluruh sektor kembali hidup dan terdapat peluang pekerjaan yang baik."
Tambah Encik Al-Ahmadi, lebih 1,400 hotel terletak di Makkah.
"Makkah penuh dengan orang sepanjang tahun dan kadar penginapan hotel turun naik, tetapi baru-baru ini, disebabkan keputusan kerajaan kami yang membenarkan kedatangan jemaah dari luar negara, kadar penginapan meningkat, dengan sesetengah hotel mencapai kadar penuh 100 peratus."
Menurut Encik Al-Ahmadi lagi, kereta api Haramain dan khidmat bas percuma dari lapangan terbang juga membantu mengurangkan kesesakan.
Pengarah operasi di Hotel Address, Ali Fallatah, berkata kenaikan pada kadar penginapan di hotel didorong oleh akses lebih baik kepada visa dan tempoh persinggahan empat hari di Arab Saudi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.