Skip to main content

Dunia

Kadar kesuburan Jepun kembali ke paras terendah

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar kesuburan Jepun kembali ke paras terendah

Ibu-ibu membawa anak-anak mereka berbasikal semasa mereka menunggang melalui persimpangan di Tokyo pada 24 Jun 2021. (Gambar fail: AP/Hiro Komae)

TOKYO: Kadar kesuburan Jepun susut lagi tahun lalu ke paras terendah baharu, menurut data rasmi pada Rabu (3 Jun), yang menggariskan krisis demografi yang melanda ekonomi keempat terbesar di dunia itu.

Jepun mempunyai salah satu kadar kelahiran terendah di dunia, serta jumlah penduduk yang semakin merosot dan menua, yang menyebabkan kekurangan tenaga kerja, bil keselamatan sosial yang semakin meningkat dan asas cukai yang semakin mengecil.

Perangkaan kerajaan menunjukkan jumlah kadar kesuburan - purata bilangan anak yang dijangka dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya - susut sebanyak 0.01 berbanding tahun sebelumnya kepada 1.14, sekali gus mencatat kemerosotan bagi tahun kesepuluh berturut-turut.

Bilangan bayi yang dilahirkan di negara itu merosot hampir 15,000 kepada lebih 670,000, iaitu angka terendah yang pernah dicatatkan sejak tahun 1899.

Perangkaan tersebut menyusuli data awal yang dikeluarkan pada bulan Februari, yang menunjukkan sekitar 706,000 kelahiran tetapi ia termasuk bayi bukan Jepun yang dilahirkan di negara itu dan warga Jepun yang dilahirkan di luar negara.

Trend itu menunjukkan kadar kemerosotan kelahiran baharu adalah 15 tahun lebih cepat daripada ramalan baru-baru ini yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Penduduk dan Keselamatan Sosial Kebangsaan, menurut media tempatan.

Pada tahun 2023, institut itu menganggarkan bahawa bilangan kelahiran tahunan tidak akan susut ke bawah paras 680,000 sehingga tahun 2040, kata penyiar awam NHK.

Bulan lalu, banci dua kali sedekad Jepun mendapati jumlah penduduk negara itu telah susut sebanyak 2.5 peratus dalam masa lima tahun sahaja.

Walaupun imigresen sering diapungkan sebagai huraian bagi menangani jumlah penduduk Jepun yang semakin mengecil, Perdana Menteri Sanae Takaichi sedang mendesak agar langkah yang lebih tegas diambil terhadap kemasukan warga asing.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan pusat dan tempatan telah cuba menggalakkan perkahwinan dan kelahiran anak melalui pelbagai langkah seperti menyediakan aplikasi cari pasangan, memberi elaun penjagaan anak yang lebih tinggi, dan subsidi cuti ibu bapa, tetapi hasilnya terhad.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita