Skip to main content

Dunia

Kabinet PM Ismail Sabri stabil tapi akan tetap dibelenggu masalah majoriti: Pengamat Politik

Barisan kabinet Malaysia yang baru dibentuk boleh disifatkan sebagai hasil kompromi antara parti-parti yang membentuk kerajaan dengan pihak yang menyokong Perdana Menteri ke-9 Malaysia, Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Aug 2021 08:33PM Dikemas Kini : 27 Aug 2021 10:24PM

SINGAPURA: Barisan kabinet Malaysia yang baru dibentuk boleh disifatkan sebagai hasil kompromi antara parti-parti yang membentuk kerajaan dengan pihak yang menyokong Perdana Menteri ke-9 Malaysia, Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Demikian menurut seorang pengamat politik dari Malaysia, Encik Ibrahim Suffian dalam satu wawancara bersama BERITAmediacorp.

Related article image
(Gambar: Facebook/Merdeka Center for Opinion Research)

(Gambar: Facebook/Merdeka Center for Opinion Research)

Pengarah Program Merdeka Center itu juga menjangkakan Pilihan Raya Umum mungkin akan hanya berlaku pada tahun hadapan selepas PM Ismail Sabri berjaya menangani jangkaan pihak-pihak tertentu.

"Dari segi kestabilannya sebagai satu kabinet, saya fikir ianya agak stabil sebagai kabinet tetapi kerajaan yang diketuai oleh PM Ismail ini saya fikir akan masih dibelenggu dengan masalah majoriti. Oleh kerana majoriti yang beliau perolehi adalah sedikit," kata Encik Ibrahim.

Kelmarin (25 Ogos), Encik Ismail Sabri sudah berjumpa dengan tiga pemimpin pihak pembangkang - Encik Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan, Encik Mohamad Sabu dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan Encik Lim Guan Eng dari DAP untuk membincangkan antaranya tentang isu COVID-19 di negara itu serta pemulihan ekonomi.

Related article image
(Gambar: Facebook/Ismail Sabri Yaakob)

(Gambar: Facebook/Ismail Sabri Yaakob)

"Pada masa yang sama, mungkin ada kompromi untuk mendapatkan sokongan kepada kerajaan sama ada dalam bentuk sokongan kepada belanjawan yang bakal dibentang sebelum hujung tahun ini dan imbang balasnya ialah mungkin beberapa daripada agenda reformasi yang ingin dibawa oleh pembangkang itu akan turut sama diangkat oleh parti pemerintah," kata Encik Ibrahim.

TIMBALAN PM BIASANYA PENGARUHI KEPUTUSAN KERAJAAN, DASAR-DASAR YANG BAKAL DILAKSANAKAN

Ketiadaan Timbalan Perdana Menteri dalam barisan kabinet ini juga kata Encik Ibrahim menggambarkan kesukaran yang dihadapi PM Ismail Sabri untuk mengimbangi tuntutan pihak-pihak penting dalam kerajaan campuran beliau.

Sebaliknya, empat menteri kanan dilantik dan mereka adalah: Encik Azmin Ali dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Encik Hishammuddin Hussein dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Dr Mohd Radzi Md Jidin dari Bersatu dan juga Encik Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak.

Ini sekali gus melenyapkan desas-desus tentang calon timbalan PM Ismail Sabri dalam menerajui negara.

Related article image
(Gambar: Facebook/Ismail Sabri Yaakob)

(Gambar: Facebook/Ismail Sabri Yaakob)

Encik Ibrahim berkata: "Kita tahu di Kuala Lumpur ini terdapat desas-desus beberapa individu yang besar namanya yang mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri sebab Timbalan Perdana Menteri biasanya mempengaruhi keputusan kerajaan dan juga dasar-dasar yang bakal dilaksanakan."

Dalam pada itu, Encik Ibrahim menarik perhatian bahawa rakyat Malaysia tidak mempunyai 'harapan yang begitu menggunung' kepada kabinet baru ini.

Beliau berkata rakyat hanya mahu kerajaan untuk fokus dalam mengatasi COVID-19 dan merancang pembangunan semula ekonomi negara.

Apabila ditanyakan pihak manakah yang 'menang besar' dalam kabinet yang baru ini, ini pandangan Encik Ibrahim...

"Sebenarnya agak sukar untuk melihat siapa yang menang ataupun kalah dalam barisan kabinet ini. Keupayaan beliau (PM Ismail Sabri) untuk menukar barisan kabinet untuk membawa muka-muka baru, orang yang mungkin bukan tokoh politik tapi teknokrat, itu sangat terhad. Kalau saya fikir siapa yang menang ataupun kalau di sini, saya fikir yang menang ialah orang-orang dalam parti UMNO yang sebelum ini menyokong beliau."  

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita