Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kabinet Perpaduan M'sia berteraskan asas kukuh untuk bina semula negara, kata Pakar Perlembagaan

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan oleh Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dilihat tepat dan bersesuaian dengan berteraskan asas yang kukuh dalam membina semula negara.

Pakar Perlembagaan, Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata pemilihan menteri-menteri adalah berdasarkan kedudukan dalam parti, pengalaman dan kepakaran masing-masing.
“Di peringkat pertama, Encik Anwar telah melakukan langkah yang betul dengan membenarkan parti yang menyertai Kerajaan Perpaduan ini untuk menamakan calon mereka sendiri.

“Adakah wajar sekiranya apabila beliau membentuk Kerajaan Perpaduan, (beliau) tidak menyerahkan budi bicara (mereka) yang menganggotainya? Perkara ini adalah pendekatan yang boleh mengelakkan politicking (percaturan politik) dalam parti,” katanya dalam program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV pada Sabtu malam (3 Dis).

Dr Wan Ahmad berkata sekiranya Encik Anwar memilih mana-mana calon tanpa melihat hierarki dalam parti berkenaan, sudah pasti akan mengakibatkan berlakunya pergolakan dalam parti itu.

“Di manakah konsep kesetiaan kepada pimpinan parti. Oleh itu, pemilihan dibuat untuk mengukuhkan kestabilan dan saya melihat pendekatan ini lebih menghormati kepada hierarki dalam parti berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Dr AT Kumararajah, berkata pemilihan ahli Kabinet Kerajaan Perpaduan itu adalah kerana mereka mampu membawa kestabilan kepada ekonomi.

“Saya pasti ramai yang mahu melihat Perdana Menteri Malaysia mengemudi negara ini dengan pengalaman dan kepakarannya apabila melihat portfolio beliau yang pernah menjadi Menteri Kewangan Malaysia dahulu.

“Pelantikan beliau sebagai Menteri Kewangan Malaysia diharap dapat memberi kesan kepada pasaran domestik dan pelaburan. Ini kerana cabaran ekonomi pada tahun 2023 adalah tinggi dan perlukan pengalaman beliau sekurang-kurangnya untuk dua tahun. Pembentangan bajet juga memerlukan seseorang yang berpengalaman bagi mengimbangi semua pemegang taruh,” terangnya.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan